Sunday, May 23, 2010

Mahkamah Tolak Bantahan Awal Elia Suhana - 23.05.2010

Hari ini Hakim Syarie, Abdullah Man dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, Kelantan telah membuat keputusan menolak permohonan bantahan awal isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana bt Ahmad bagi membatalkan permohonan lafaz cerai talak tiga yang difailkan oleh Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 09 Mac 2010 lalu. Lafaz cerai berkenaan didakwa dilafazkan oleh Al-Sultan Kelantan ketika masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari 2010 dihadapan beberapa orang saksi termasuk Datin Nik Rorhana sendiri. Abdullah mengambil masa lebih kurang 15 minit ketika membacakan penghakimannya berhubung kes ini.

  • Katanya "Apa yang dilakukan oleh plaintif (Datin Nik Rorhana) tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana mendakwa telah mendengar lafaz berkenaan yang memohon agar hak Allah SWT itu dapat diselesaikan dengan baik. Ini bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak baik dan mahkamah boleh membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai pandangan"
  • Abdullah juga berkata, "dari segi perundangan adalah tidak wajar plaintif (Datin Nik Rorhana) membawa kes ini ke mahkamah kerana Sultan Kelantan selaku ketua agama, baginda dilindungi hak-hak mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan."

Sehubungan dengan itu, perbicaraan lafaz cerai berkenaan akan tetap diadakan pada 13 Jun 2010. Pihak Mahkamah dijangkan akan memohon untuk menghadap Al-Sultan Kelantan di Istana Mahkota, Kota Baharu, Kelantan bagi membolehkan siasatan dilakukan bersabit dakwaan lafaz cerai baginda itu.

Cik Puan Elia dan Datin Nik Rorhana bersama peguam masing-masing hadir di Mahkamah bagi mendengar kes bantahan awal lafaz cerai ini dan Cik Puan Elia Suhana kelihatan mengalirkan air mata apabila Hakim membacakan keputusan berkenaan. Menurut peguam syarie Cik Puan Elia, Fakhrul Azman Abu Hasan, mereka tidak akan membuat sebarang rayuan walaupun mendapat peruntukan selama 14 hari untuk berbuat demikian malah sudah bersedia menghadapi perbicaraan yang telah ditetapkan pada 13 Jun depan. Manakala Peguam syarie yang mewakali Datin Rorhana, Zainul Rijal Abu Bakar memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan tujuh saksi dalam perbicaraan berkenaan.

Gambar Cik Puan Elia di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu pada hari ini bagi mendengar keputusan mahkamah bagi membatalkan permohonan cerai talak tiga beliau.

Bersama-samalah kita tunggu keputusan perbicaraan yang akan dijalankan pada tanggal 13 Jun 2010 semuga yang benar akan mendapat pembelaan sewajarnya dan jika itu adalah ketentuan yang ditakdirkan oleh Allah SWT maka kita semua harus menerima keputusan Mahkamah Tinggi Syariah sebagai Qada dan Kadar yang telah ditentukan untuk Cik Puan Elia. Syah pasti Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu akan menjalan dan melaksanakan tanggungjawabnya mengikut hukum-hukum syarak. Kepada Cik Puan Elia banyak-banyaklah bersabar dan jangan lupa untuk menunaikan solat hajat supaya beroleh kebenaran.

No comments: