Sunday, August 29, 2010

Majlis Khatam Al-Quran Istana Nurul Iman - 29.08.2010

Majlis Khatam Al-Quran Istana Nurul Iman telah diadakan di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman pada hari Rabu lepas bersamaan 18.08.2010. Majlis Tadarus Al-Quran di Istana Nurul Iman merupakan program rasmi Istana setiap tahun apabila menjelang bulan Ramadhan Al-Mubarak. Majlis telah disempurnakan di hadapan YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba'asith Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong. Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid Bakal, diikuti dengan dengan bacaan ayat-ayat Lazim dari Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nass. Manakala bacaan Takhtim dan Doa Khatam disempurnakan oleh Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Yahaya Haji Ibrahim.

Majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam dan Zikir Marhaban yang dipimpin oleh 12 orang pegawai masjid terdiri daripada Pehin Khatib dan Mudim dua masjid utama di negara ini yang diketuai oleh Pehin Khatib Haji Mustafa Haji Murat, yang juga telah membaca Doa Dikir.Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan Brunei, Pehin Dato Paduka Seri Setia Dr Haji Abdul Aziz Juned. Majlis ini telah dihadiri oleh YAM Pengiran-Pengiran Cheteria, Pengiran-Pengiran Peranakan, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Pendalaman, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan para Ketua Jabatan.

No comments: