Wednesday, November 17, 2010

Sultan Brunei Solat Sunat Aidil Fitri dan Sembelih Haiwan Korban - 17.11.2010

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kaun Kerabatnya telah mengerjakan Solat Aidil Adha di Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah, Kampung Kiarong, Bandar Seri Bagawan. Berangkat sama mengiringi baginda adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik serta kerabat diraja lainnya. Rombongan diraja telah disambut oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman. Solat Sunat Aidil Adha telah diimamkan oleh Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Yahya Haji Ibrahim manakala Khutbah Hari Raya Aidil Adha telah dibacakan oleh Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Salim Haji Besar.


Selepas solat, Kebawah Duli Tuanku dan Kaum Kerabatnya telah melakukan penyembelihan korban dalam satu Majlis tahunan yang dikenali sebagai Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Beserta Anggota Kerabat. Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Abdul Aziz Juned. Pada majlis ini tujuh ekor kambing disempurnakan penyembelihannya yang disaksikan baginda sendiri dan anakanda-anakanda baginda, manakala penyembelihan binatang korban Baginda Sultan selebihnya disempurnakan di Pusat Penyembelihan Mulaut Abattoir Sdn Bhd. Dalam majlis ini juga baginda telah berkenan mengagihkan daging korban yang telah diletakkan dalam kotak bewarna kuning kepada 20 orang fakir miskin yang dipilih daripada daerah Brunei dan Muara manakala selebihnya menerima daging-daging korban melalui satu majlis penyerahan diadakan di keempat-empat daerah di Brunei.

Pada tahun ini, sebanyak 14 ekor kambing dan 48 ekor lembu dikorbankan dalam majlis Ibadah Korban Sunat Baginda Sultan dan Kerabat Baginda. Daging-daging korban akan diagih-agihkan kepada sejumlah 1,113 fakir miskin yang berhak menerimanya iaitu di daerah Brunei Muara (752 orang), Tutong (68), Belait (213) dan Temburong (80).

No comments: