Saturday, November 13, 2010

Sultan Selangor Batal Kehadiran ke Majlis Ulangtahun Ke-40 Yayasan Selangor - 13.11.2010

Semalam 12.11.2010 Setiausah Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Ramli Mahmud memaklumkan bahawa Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah membatalkan serta-merta hasrat baginda untuk menghadiri Jamuan Makan Tengahari sempena ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dijadualkan pada 15.11.2010. Turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan adalah Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Banir.

Baginda membuat tindakan drastik ini setelah mengetahui kos untuk menganjurkan majlis ini melebihi RM300,000.00. Bagi baginda ini merupakan satu pembaziran yang serious dan tidak sepatutnya berlaku. Baginda menzahirkan rasa terkejut dan dukacita atas apa yang berlaku berlaku memandangkan Yayasan Selangor merupakan badan kebajikan kerajaan negeri Selangor yang bertanggung jawab memantapkan pendidikan anak-anak dari keluarga yang tidak berkemampuan diluarbandar. Baginda menitah sarankan agar jumlah wang sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk aktiviti yang lebih berfaedah bagi membantu pembiayaan pelajaran pelajar-pelajar miskin. Nasihat baginda kepada Yayasan Selangor adalah agar lebih perihatin dalam menguruskan wang Yayasan dan memberi fokus atas amanah yang telah dipertanggungjawabkan atas penubuhannya.

Jika mengikut jadual asal, Sultan Selangor telah bersetuju untuk menghadiri Majlis Makan Tengahari sempena Ulangtahun Ke-40 Yayasan Selangor. Majlis akan diadakan di Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur di Asrama Tun Dr Ismail dan Toh Puan Norashikin, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada hari Isnin bersamaan 15.11.2010. Berikutan isu ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Selangor telah membatalkan majlis berkenaan.

Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataan akhbarnya semalam juga memaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor tidak mengetahui berhubung kos majlis berkenaan. En Ilham Mardzuki, Pengurus Besar Yayasan Selangor memaklumkan bahawa kos sebenar majlis berkenaan adalah sebanyak RM 285,000.00 dan bukannya seperti didakwa melebihi RM300,000.00. Kos berkenaan adalah termasuk kos penyediaan makan minum bagi 2000 tetamu, tetamu khas kenamaan (VIP) seramai 200 orang, sewa khemah, dekorasi untuk majlis, kad jemputan, artis jemputan dan sistem siar raya.

No comments: