Tuesday, December 7, 2010

Ku Li Lafaz Taat Setia Kepada DYMM Sultan Ismail Petra Sebagai Sultan Kelantan Yang Sah - 07.12.2010

YBM Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang telah ditarik semula dua pingat darjah kebesaran Negeri Kelantan milik beliau oleh Cucu Saudaranya, Sultan Muhammad Ke-V meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan agar memberi perhatian serius terhadap krisis yang melanda Istana Kelantan sekarang ini agar tidak mengelirukan rakyat.

Beliau juga telah mengedarkan kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh DYMM Sultan Ismail Petra bertarikh 27 November 2010 berhubung kedudukan sebenar DYMM Sultan Ismail Petra yang memaklumkan bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah dan tidak sesiapapun yang berhak menjadi Sultan Kelantan selain baginda dan jika ianya berlaku itu adalah satu penderhakaan. Dalam kenyataan itu DYMM Sultan Ismail Petra memaklumkan bahawa baginda tidak kehilangan upaya untuk memerintah mengikut perlembagaan negeri Kelantan.

Ku Li juga telah melafazkan taat setia beliau kepada DYMM Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dan menyifatkan perlantikan dan pemasyhuran KDYMM Sultan Muhammad Ke-V sebagai tidak sah. Beliau mempertikaikan mengapa Pemangku Raja melakukan pindaan pada perlembagaan negeri Kelantan bagi membolehkan baginda dilantik sebagai Sultan Kelantan yang baru. Menurut beliau, DYMM Sultan Ismail Petra hanya gering (sakit) dan semakin pulih serta menurut doktor, baginda berupaya menjalankan tugas cuma tidak boleh berjalan sahaja. Beliau menyifatkan apa yang dilakukan oleh Sultan Muhammad Ke-V sebagai satu huru hara dan katanya tiada seorang Raja yang akan kekal selama-lamanya.

Tambah Ku Li lagi, mengikut perlembagaan negeri Kelantan, seorang Sultan hanya boleh diganti jika berlaku salah satu dari tiga syarat iaitu Kemangkatan Sultan, Sultan rela hati turun dari tahta ataupun Sultan meninggalkan negeri tanpa alasan munasabah melebihi 12 bulan.

No comments: