Sunday, December 26, 2010

Melawat Makam Mak Engku - 26.12.2010

Shukur Alhamdulillah akhirnya semalam 25.12.2010 sampai juga hajat yang terpendam selama ini iaitu untuk menziarahi makam Almarhumah Dato' Seri Che Puan Hajjah Norizan binti Haji Hamzah walaupun pada mulanya kami menghadapi sedikit kesukaran mencari lokasi makam berkenaan. Syah tidak pernah bersua muka dengan Almarhumah cuma berhubung melalui telefon sekitar 1990an dan Syah membahasakan Almarhumah sebagai Mak Engku. Mak Engku merupakan Isteri Bongsu kepada Sultan Perak Ke-33, Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah atau selepas kemangkatan baginda dikenali sebagai Marhum Affifullah. Mak Engku merupakan seorang peramah dan yang paling penting beliau merupakan seorang bonda yang bertanggung jawab dan membesarkan anak-anaknya dengan sempurna walaupun ketiadaan Almarhum Paduka Suami Tercinta disisi dalam usia Mak Engku yang masih muda. Mak Engku tidak pernah berkahwin lain selepas kemangkatan Tuanku Sultan.

Mak Engku diputerikan pada 23.03.1960 dan mangkat pada 05.03.2006 iaitu 18 hari sebelum sambutan hari lahir Mak Engku yang Ke-46 tahun. Mak Engku mangkat di Hospital Raja Perempuan Bainum, Ipoh, Perak setelah lebih kurang lapan bulan mendapatkan rawatan kanser buat kali kedua akibat Barah Pangkal Rahim yang dihidapinya. Kali pertama Mak Engku mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur tetapi penyakit berkenaan berulang semula. Allah lebih sayangkan Mak Engku dan Mak Engku menghembuskan nafas terakhir disisi anakanda tersayang Kudiah dan Kuess. Jenazah telah diuruskan oleh pihak hospital dan diziarahi oleh kaum keluarga dan kerabat diraja dan dari hospital jenazah dibawa terus ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih sepertimana amanat Mak Engku untuk disemadikan disitu.

Sewaktu menghampiri makam Mak Engku Syah tercium bau wangi seperti bau air mawar, hendak dikatakan ada orang datang melawat tidak ada pula taburan bunga atau daun pandan pada makamnya atau kawasan bersebelahan dan bau itu kemudiannya hilang beberapa ketika. Syah sempat membacakan Al-Fatihah untuk Mak Engku dan Almarhum/Almarhumah di Tanah Perkuburan ini. Syah juga sempat membersihkan sedikit kepok makam Mak Engku dan mencium batu nisannya sebagai tanda hormat Syah pada Mak Engku. Dihadapan Mak Engku adalah pusara Ayahanda tercinta Mak Engku yang merupakan seorang Imam iaitu Allahyarham Haji Hamzah bin Abdullah yang telah meninggal dunia pada 08.11.2007. Makam Mak Engku biasa sahaja seperti mana amanahnya, Terdapak kepok untuk makam ini dan nisannya diperbuat daripada batu sungai.
..... Al-Fatihah ......
Almarhumah Dato' Seri Che Puan Hajah Norizan binti Haji Hamzah
Semuga Roh Mak Engku DiTempatkan Bersama Orang-Orang Yang Beramal Soleh.
AMIN

No comments: