Saturday, January 22, 2011

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II)

22.01.2011, Sabtu -
Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) merupakan Darjah Kebesaran dan pengurniaan yang kedua tertinggi di Negeri Selangor Darul Ehsan selepas Darjah Kerabat (D.K.). Darjah Kebesaran ini dizahirkan pada tahun 1977. Ia mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) ini dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia. Ia juga dikurniakan sebagai tanda penghormatan kepada Putera-Putera Raja Negara Asing sebagai tanda penghormatan dan hubungan silaturrahim dengan Baginda Sultan Selangor. Penyandang-penyandang jawatan tinggi yang telah menyumbang jasa dan bakti yang cemerlang kepada Baginda Sultan atau Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan juga layak dipertimbangkan untuk menerima Kurniaan ini.
Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II)

D.K.II terdiri daripada Kalung Darjah yang diperbuat daripada logam bersadurkan emas dengan 14 karangan mata rantai. Terdapat Lambang Negeri Selangor di atas bulan sabit tertera pada mata rantai di tengah-tengah. Mata rantai yang lain berbentuk bulat dimana permukaannya terukir keris bersilang, berselang-seli dengan mata rantai yang mengandungi perkataan Allah dalam huruf jawi.

Bintang Darjah pula berwarna keemasan dan permukaannya terdapat gubahan daun kelapa yang timbul.Lencana Darjahnya berwarna enamel keemasan dengan gubahan daun kelapa yang timbul berwarna enamel merah.Selepangnya diperbuat daripada kain sutera selebar 101.6mm. Ia mempunyai dua jalur merah di tengahnya dan dipakai di atas bahu sebelah kiri melintang ke bawah sebelah pinggang kanan.
Penerima-Penerima D.K. II adalah "-
  1. 1977 - Yang Amat Berhormat Datuk Hussein Onn
  2. 1978 - Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahmood Ibni Sultan Ismail Nasiruddin Shah
  3. 1979 - Y.A.M. Tengku Badli Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj
  4. 1985 - Duli Yang Teramat Mulia Raja Zarina binti Raja Tan Sri Zainal
  5. 1989 - Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badli Shah
  6. 1992 - D.Y.T.M Tunku Hajjah Raudzah binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj
  7. 1992 - Y.A.M. Tengku Azman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj
  8. 1996 - Y.A.M. Tengku Thurayah binti Almarhum Sultan Ibrahim
  9. Pertabalan - Y.A.M. Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
  10. 2003 - D.Y.T.M. Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah
  11. 2009 - Y.A.M. Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

No comments: