Tuesday, February 1, 2011

Kenali Nenda Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

01.02.2011, Selasa - Setiap individu mempunyai ibu dan bapa serta datuk dan nenek. Kebanyakan dari kita semua mengenali datuk dan nenek kita kecuali jika mereka sudah meninggal dunia sebelum kita dilahirkan. Untuk Entry kali ini, Syah ingin berkongsi maklumat bersama anda semua mengenai Nda-Nda iaitu datuk dan nenek kepada Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Ayahanda Sultan Selangor adalah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj merupakan Sultan Selangor Ke-8 dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XI manakala bonda baginda adalah Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah atau lebih dikenali sebagai Ku Lat sebelum menjadi raja bergelar. YMM Paduka Bonda Raja Selangor sekarang menetap di Shah Alam, Selangor. Ayahanda dan bonda Tuanku telah bercerai sebelum Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj menjadi Sultan Selangor. Tahukah anda bahawa DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempunyai pertalian darah dengan Kerabat Diraja Perak disebelah bonda baginda.

Nenda sebelah ayahanda DYMM Sultan Selangor adalah :-
  • Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah merupakan Sultan Selangor Ke-7 dan Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-2. Almarhum diputerakan pada 13.05.1898. Almarhum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 14.04.1960. Walau bagaimanapun Almarhum tidak sempat menghabiskan tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong apabila Almarhum mangkat pada 01.09.1960 dan hanya sempat memegang jawatan berkenaan selama lebih kurang 4 bulan 16 hari sahaja. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Selangor, Bandar Diraja Klang.

  • Almarhumah Tengku Ampuan Jema'ah binti Almarhum Raja Ahmad merupakan Tengku Ampuan Selangor dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-2. Almarhumah diputerikan di Bandar Termasha, Kuala Langat, Selangor sekitar tahun 1900. Berkahwin dengan Almarhum Sultan Hisamuddin pada 1920 dan melahirkan, Tengku Abdul Aziz (Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) enam tahun kemudiannya. Almarhum Sultan Hishamuddin mempunyai tujuh orang cahayamata iaitu empat putera dan tiga puteri termasuklah YMM Tengku Ampuan Bariah, Mantan Tengku Ampuan Besar Terengganu (bonda tiri Tuanku Mizan) dan Raja Puan Muda Kedah, DYTM Tunku Hajjah Raudzah . Almarhumah Tengku Ampuan Jema'ah hanya melahirkan seorang putera sahaja manakala selebihnya adalah anakanda kepada Che Puan Hajjah Kalsom, isteri kedua Almarhun Sultan Hisamuddin. Pada tahun 1952 Almarhumah menunaikan fardu haji bersama paduka suami baginda di Mekah Al-Mukarmah. Almarhumah dan Almarhum Sultan Hisamuddin menghadiri majlis pertabalan Queen Elizabeth II pada 02.06.1953 di Westminister Abbey, London. Almarhumah mangkat pada 08.04.1973 dan dimakamkan Di Makam Diraja Selangor, bandar Diraja Klang.
Makan Almarhum Tengku Bendahara Selangor Tengku Badar Shah di Makam Diraja Selangor. Gambar diambil semasa ziarah Syah ke Makam Diraja Selangor pada 15.01.2011.

Nenda DYMM Sultan Sharafuddin Idris Syah Alhaj di sebelah bonda baginda, YMM Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah adalah :-

  • Amlarhum Tengku Bendahara Selangor Tengku Badar Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Almarhum Tengku Badar Shah merupakan anakanda kedua Sultan Selangor Ke-5, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah daripada surinya Che Hasnah bt Pilong. Almarhum Sultan Hisamuddin yang merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Sulaiman dan Almarhum Tengku Badar merupakan adik beradik seibu sebapa (bonda yang sama). Sehubungan dengan itu, Ayahanda dan Bonda DYMM Sultan Sarafuddin Idris Shah berkahwin sepupu. Almarhum Tengku Badar Shah dikurniakan dengan dua orang Putera dan empat orang Putri hasi perkahwinannya dengan Raja Embin Izmah binti Sultan Abdul Jalil, Raja Nur binti Raja Juma'at dan Raja Indera binti Raja Ahmad. Almarhum Tengku Badar Shah diputerakan pada 18.04.1893 dan mangkat dalam usia 52 tahun pada 30.10.1945 dan dimakamkan di Makam Diraja Selangor, Bandar Diraja Klang.
Makam Nenda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj iaitu Almarhumah YAM Raja Embin Izmah binti Almarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak). Gambar diambil sewaktu lawatan Syah ke Makam Diraja Selangor pada 15.01.2011.

  • Almarhumah YAM Raja Embin Izmah binti Almarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak) merupakan nenda kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan bonda kepada YMM Paduka Bonda Raja Selangor. Almarhumah Raja Embin berkahwin dengan Almarhum Tengku Badar Shah pada 1917, kemudiannya berpisah dan balik ke Perak dan berkahwin semula sebagai isteri pertama Almarhum Raja Dato' Badri Shah ibni Almarhum Raja Haji Harun Al-Rashid dan kemudiannya berpisah. Hasil perkahwinan Almarhumah dengan Almarhum Tengku Badar Shah dikurniakan dengan tiga orang puteri termasuklan YMM Paduka Bonda Raja Selangor. Manakala dengan Almarhum Raja Dato' Badri pula dikurniakan seorang puteri. Almarhumah mangkat pada 24.05.1980 dan dimakamkan sebaris dengan Almarhum Tengku Badar Shah dengan jarak 8 buah makam. Makam Almarhum Tengku Badar Shah bernombor 9 manakala Almarhumah di nombor 18 di Makam Diraja Selangor, Bandar Diraja Klang.
Gambar ini syah dapat daripada anakanda tiri Almarhumah YAM Raja Embin, Ku Chick @ YM Raja Nor Izaliah bt Almarhum Raja Dato' Badri Shah. Menurut Ku Chik, Almarhumah bolehlah digambarkan sebagai "Very Stylish Lady" pada masa itu. Dari kiri ke kanan, Raja Zainanur bt Raja Harun Al-Rashid, Raja Yan binti Raja Badiozaman, Bonda Sultan Pahang, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, KDYMM Tengku Ampuan Pahang Raja Fatimah bt Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak), Bonda Tiri DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, DYMM Raja Perempuan Ta'ayah bt Raja Abdul Hamid, Tengku Mariam Khalida bt Tengku Ibrahim (diatas pangkuan Raja Perempuan Ta'ayah), YAM Raja Embin Izmah bt Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak) dan YM Raja Iznin bt Raja Dato' Badri Shah (diatas pangkuan YAM Raja Embin).

No comments: