Tuesday, March 22, 2011

Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah Dalam Kenangan

Al-Fatihah
Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah.
Dari Allah Dia Datang Kepada Allah Dia Kembali
Semuga Allah Menempatkan Roh Allahyarham YMM Tengku Ampuan Bariah Bersama-Sama Orang Yang Beriman.
AMIN.

Semalam kita dikejutkan dengan pemergian YMM Tengku Ampuan Bariah, pergi yang tidak akan kembali lagi buat selama-lamannya didunia yang fana ini. Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, semua amalannya akan terputus melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Almarhumah diputerakan (dilahirkan) di Bandar Diraja Klang, Selangor pada 31.08.1933 sebagai Tengku Bariah puteri kepada Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah daripada bondannya Allahyarhamah Cik Puan Hajjah Kalsom binti Haji Mahmud. Almarhumah merupakan adinda kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj tetapi dari bonda yang berlainan. Bonda Almarhum Sultan Salahuddin adalah Almarhumah Tengku Ampuan jema'ah binti Almarhum Raja Ahmad. Sultan Selangor sekarang merupakan anakanda saudara Almarhumah.

Adik beradik Almarhumah seramai tujuh orang dan semuanya adalah daripada bonda yang sama iaitu Allahyarhamah Cik Puan Hajah Kalsom keculi Almarhum Sultan Salahuddin. Diantara adik beradik Almarhumah adalah Tengku Tengku Badli Shah, Tengku Azman Shah, Tengku Ismail Shah, Tengku Raudziah (Raja Puan Muda Kedah darul Aman) dan Tengku Taksiah.

Almarhumah bertemu jodoh dengan Yang Dipertuan Muda Terengganu Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud pada 22.03.1952 dan melangsungkan istiadat perkahwinan di Kuala Lumpur. Dengan perkahwinan ini Almarhumah dianugerahkan gelaran Tengku Puan Muda oleh ayahanda mertuanya Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Almarhumah bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 20.09.1979 selepas paduka suaminya menjadi Sultan Terengganu dengan gelaran KDYMM Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Perkahwinan Almarhumah dengan Almarhum Sultan Mahmud tidak dikurniakan dengan sebarang zuriat. Almarhum Sultan Mahmud berkahwin dengan Che Puan Sharifah Nong Al-Sagoff seorang warga Singapura berketurunan Syed sebagai isteri kedua baginda yang merupakan Bonda sebenar kepada Tuanku Mizan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Mahmud di Singapura pada 15.05.1998, Almarhumah menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah. DYTM Yang di-Pertuan Muda Tengku Mizan dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu yang baru dengan gelaran KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin. Tuanku Mizan telah memberikan gelaran kepada bondanya, Che Puan Sharifah Nong Al-Sagoff dengan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu. Semasa hayatnya, Almarhumah bersemayam (menetap) di Istana Bukit Jambol dalam kawasan Kuala Terengganu, Terengganu.
Tuanku Mizan ditabalkan sebagai Sultan Terengganu Ke-16 pada 14.03.1999 di Balairong Seri Istan Maziah dengan penuh adat istiadat diraja Terengganu. Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah turut serta dalam istiadat berkenaan begitu juga dengan YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah bt Almarhum Tengku Seri Setia Raja yang merupakan Nenda Tiri Tuanku Mizan iaitu balu kepada Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Merujuk kepada gambar diatas, disebelah Tuanku Mizan adalah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah manakala disebelah Tuanku Nur Zahirah adalah Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah.

Almarhumah Tengku Ampuan Bariah mangkat pada 21.03.2011 di Bandar Diraja Kelang tempat tumpah darah Almarhumah sendiri. Walau bagaimanapun Almarhumah dimakamkan di Terengganu. Jenazah Almarhumah diterbangkan ke Kuala Terengganu menggunakan perkhidmatan pesat C130 TUDM. Istiadat penghormatan terakhir dan Solat Jenazah disempurnakan di Balairong Seri Istana Maziah, Kuala Terengganu sebelum Jenazah diarak menggunakan Tandu Diraja ke kawasan Permakaman Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah, Ladang, Kuala Terengganu. Tandu khas berkenaan melalui jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman dengan diiringi pembawa payung dan tombak yang terdiri daripada lima pegawai serta 64 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen ke-18 Askar Melayu Diraja sejauh empat kilometer. Tuanku Mizan dan Putera Baginda, Tengku Muhammad Mua'az, kerabat diraja dan pembesar negeri turut serta mengiringi tandu berkenaan.

No comments: