Wednesday, March 23, 2011

Negeri Terengganu Berkabung Selama 40 Hari Sempena Kemangkatan Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah

Menteri Besar Terengganu Menyiram Air Mawar di Makam Almarhumah YMM Tengku Ampuan bariah sempena lawatan YAB Dato' Seri Ahmad Said ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafibillah, Ladang, Kuala Terengganu semalam 22.03.2011. - Gambar diambil daripada Berita


23.03.2011, Rabu – Berikutan kemangkatan Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah pada 21.03.2011 lepas, Kerajaan Negeri Terengganu dibawah pimpinan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari bagi seluruh negeri Terengganu dan akan berakhir pada 29.04.2011. Sehubunga dengan itu segala acara berbentuk hiburan adalah dilarang kecuali majlis atau acara berunsur keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah.


Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan persekutuan serta badan berkanun di Terengganu diwajibkan menghormati perkabungan ini dengan memakai songkok berlilit kain putih berkuran satu inci bagi lelaki Melayu dan bagi lelaki bukan Melayu mereka dikehendaki memakai tali leher hitam atau lilitan hitam dibahagian lengan kanan masing-masing. Bagi kaum wanita Melayu mereka dikehendaki memakai tudung atau selendang warna putih dan wanita bukan Melayu pula memakai lilitan seperti lelaki bukan Melayu.

Bagi pasukan polis dan tentera cara pemakaian adalah mengikut ketetapan peraturan berpakaian berkabung bagi polis/angkatan tentera. Dalam tempoh berkabung, semua bendera negeri dan bendera lain kecuali Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan separuh tiang di semua premis jabatan dan bangunan kerajaan negeri, persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, bangunan kedai serta kediaman.

No comments: