Tuesday, March 29, 2011

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Melawat Beberapa Pusat Pemindahan Banjir Sekitar Perlis

31.03.2011, Khamis - Hari ini Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Asashah Khalil telah berbesar hati berkenan melawat beberapa pusat pemindahan banjir sekitar Perlis. Diantara lokasi lawatan baginda adalah Sekolah Kebangsaan Panggau, Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan dan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Perlis (UniMap). Turut serta mengiringi baginda berdua adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Dato' Azizan Hamid dan Pengarah Pelajaran Perlis En Mansor Lat.

Dalam titahnya, Baginda menasihati mangsa-mangsa banjir supaya mengawasi pemakanan dan kesihatan masing-masing bagi mengelakkan penyakit-penyakit bawaan air seperti denggi, kepialu dan taun yang kebiasaannya menular selepas banjir berlaku. Baginda berharap pengalaman Perlis menghadapi banjir besar pada tahun 2005 dan tahun lepas dapat dimanfaatkan oleh mangsa untuk menghadapi banjir kali ini. Tambah Baginda lagi, semenjak empat tahun lalu Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Baitulmal Perlis sering menjalankan kempen langkah menghadapi banjir melalui program Titian Kasih yang mana ianya boleh dimanfaat sepenuhnya oleh masyarakat apabila menghadapi bencana seperti ini.

Gambar dari Bernama yang diambil hari ini di Perlis yang menunjukkan ada lagi segelintir masyarakat yang bermain-main dengan air banjir dan menganggapnya seperti sebuah pesta. Berhati-hati dan lindungilah keluarga anda sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sayangilah diri dan keluarga anda, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna. Tetapi kebiasaannya seperti kata Ayahanda Syah, "Manusia Nie Kebanyakannya Menyesal Kemudian".


Dari laporan Bernama, banjir di Perlis semakin teruk dan sehingga jam 12:00hrs tadi seramai 3397 mangsa banjir telah dipindahkan ke 35 buah pusat pemindahan sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar. Kepada yang terlibat dengan banjir ini, anda dinasihatkan supaya berhati-hati dan menjaga keluarga masing-masing terutamanya anak-anak dan orang tua untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Terima Kasih atas sifat keperihatinan DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis terhadap mangsa-mangsa banjir di Perlis. Semuga dengan kehadiran Tuanku berdua akan memberikan motivasi kepada mangsa banjir menghadapi segala rintangan. Syah juga mendoakan agar semua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat dengan tahap kesihatan yang tinggi serta tabah mengharungi dugaan ini. AMIN.

No comments: