Saturday, June 18, 2011

Sultan Selangor Serah Watikah Perlantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor

DYMM Sultan Selangor menyerahkan Watikah Perlantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor kepada En Mohamed Fouzi Mokhtar - Gambar dari Bernama

18.06.2011, Sabtu - Semalam Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan menyerahkan watikah perlantikan dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor. Mereka terdiri daripada En Mohamed Fouzi Mokhtar (36 tahun) dan En Mawardi Che Man (37 tahun) yang telah menjalankan tanggungjawab berkenaan mulai 01.06.2011 lepas. Perlantikan ini adalah selaras dengan subseksyen 57(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan Sultan Selangor, selepas berunding dengan atas nasihat Majlis dan Ketua Hakim Syarie boleh melantik Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Turut serta dalam istiadat ini adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Mohammed Khusrin Munawi.

Dalam istiadat yang sama, Tuanku Sultan Selangor juga telah menyampaikan watikah perlantikan kepada En Muhamad Nazri Basrawi (36 tahun) dan En Ghazali Ahmad (35 tahun) sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor dan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berkuatkuasa 15.03.2011 lepas. Sebelum itu, Tuanku Sultan Selangor telah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM4.03 Juta daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) yang disampaikan oleh Dato' Aini Taib, Lembaga Pengarah Bank Rakyat. Turut serta adalah Pengerusi Lembaga Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor En Mohamad Izam Mohamed Yusof.

En Akhtar Sahari yang merupakan Ketua Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor memaklumkan bahawa zakat perniagaan merupakan penyumbang kedua terbesar di Selangor selepas zakat pendapatan. Pada tahun ini mereka mensasarkan peningkatan sebanyak 8% kutipan zakat perniagaan dengan anggaran kutipan sebanyak RM65.3 juta berbanding RM60.5 juta pada tahun lepas.

No comments: