Thursday, August 11, 2011

Raja Muda Perlis di Sabah - Lancarkan Kempen "Mai Belajar di Perlis"

11.08.2011, Khamis - Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kini berada di Sabah untuk lawatan kerja ke Tawau, Sabah bermula semalam 10.08.2011 hingga Jumaat ini 12.08.2011. Turut mengiringi Tuanku Syed Faizuddin adalah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Diantara program Titian kasih Raja Muda Perlis sempena lawatan ini adalah pelancaran kampen "Mai Belajar di Perlis". Pelancaran diadakan malam tadi bertempat di masjid Roudhatul Jannah, Kinabutan. Mai membawa maksud mari.

Beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta Perlis turut serta dalam program ini dengan memperkenalkan program-program pengajian dan kemudahan yang ditawarkan melalui pengedaran brosur. Diantara yang mengambil bahagian adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Kolej Antarabangsa dan Teknologi Profesional Perlis, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) serta beberapa institusi pendidikan dibawah Yayasan Islam Perlis (YIP).

Tuanku berharap agar pelajar di Sabah merebut peluang keemasan belajar di Perlis yang kini merupakan sebuah negeri ilmu. Buat masa ini terdapat kira-kira 300 pelajar dari Sabah menimba ilmu di Perlis dalam pelbagai bidang. Tuanku juga telah berkenan menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin sepanjang lawatan ini serta akan meninjau kawasan Ops Pasir di beberapa pulau di perairan Sabah.

No comments: