Saturday, November 19, 2011

Tuanku Mizan Berangkat Ke Antartika

19.11.2011, Sabtu - Hari ini Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berangkat ke Benua Antartika untuk lawatan kerja selama empat hari. Baginda berlepas ke Antartika melalui Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Syah doakan agar perjalanan Tuanku Mizan dan rombongan Selamat pergi dan kembali semula ke Malaysia serta dipermudahkan segala urusan Tuanku dan rombongan dari Malaysia.

Baginda diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Pengerusi Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM) Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Fello ASM Prof Datuk Azizan Abu Samah. Tuanku Mizan dijadualkan melawat Pengkalan Scott yang merupakan sebuah fasiliti penyelidikan yang dikendalikan oleh New Zealand di Antartika.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataannya pada Khamis lepas memaklumkan bahawa Lawatan kerja ini sempena penyertaan Malaysia pada 31.10.2011 lepas dalam Triti Antartik 1959. Minat negara kita dalam eksplorasi sains di Antartika bermula apabila Malaysia dan Antigua & Barbuda mengutarakan isu Antartika pada Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu. Penglibatan Malaysia di benua Antartika bermula pada 19.11.1997 apabila Jemaah Menteri meluluskan penyertaan Malaysia untuk membuat penyelidikan di Antartika.

Akademi Sains Malaysia kemudiannya menubuhkan satu badan petugas dibawah MARP atau Program Penyelidikan Antartika Kebangsaan untuk menarik minat saintis Malaysia terhadap perkembangan penyelidikan di Antartika. Hasilnya para saintis Malaysia telah memulakan penyelidikan di Antartika pada tahun 1999. Sehingga tahun lepas sebanyak 66 ekspedisi telah dilakukan oleh kira-kira 60 penyelidik dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Sebanyak 24 projek penyelidikan dalam bidang sains dan biologi dan sains fizikal sedang dijalankan oleh saintis Malaysia dibawah seliaan MARP.

Lawatan Tuanku Mizan ke Pengkalan Scott, Antartika ini adalah untuk memperkukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik Antartika diantara Malaysia dan New Zealand disamping memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah sedia terjalin diantara Malaysia - New Zealand.

MOSTI juga memaklumkan, satu proses selari sedang dibuat bagi mengubal satu akta baru bagi memenuhi obligasi dibawah Triti Antartika ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara Pihak Perunding Triti Antartik. Pengubalan akta ini dibuat oleh satu kumpulan kerja yang diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Draft Akta ini dijangka dimuktamadkan untuk dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan.

Nota : Info dari Bernama dan mStar Online

No comments: