Wednesday, January 11, 2012

Jadual Hari Keputeraan Sultan Kedah Berjalan Lancar

11.01.2012, Rabu - Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, En Mohamad Rizal Mohamad memaklukkan kepada Bernama hari ini bahawa jadual sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah yang ke-84 pada Ahad ini akan berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Sebanyak 21 acara akan diadakan dinegeri ini sempena sambutan berkenaan. Majlis sambutan dimulai dengan bacaan yasin, doa dan jamuan kesyukuran di Masjid Zahir, Alor Star pada malam Sabtu ini yang akan dihadiri oleh empat orang jemaah pemangku Sultan Kedah yang akan diketuai oleh pengerusinya Dato' Seri Tunku Anuar Sultan Badlishah. Turut dijadualkan hadir sama adalah Raja Muda Kedah Darul Aman Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Duli Yang Teramat Mulia Tunku Hajah Raudzah bt Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Pada hari Ahad pula akan diadakan Istiadat Perbarisan Kehormat di Dataran Balai Besar Alor Star yang akan disempurnakan oleh Tunku Anuar dimana beliau akan menerima kawalan kehormat diraja oleh pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta tembakan 21 das meriam. Sebagai wakil Sultan Kedah beliau akan menganugerahkan darjah serta bintang kebesaran negeri di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. Pada sebelah petangnya pula Tunku Anuar dan Ahli Jemah Pemangku Sultan Kedah akan berangkat menghadiri majlis jamuan teh pada jam 16:00hrs bertempat di Perkarangan Istana Anak Bukit.

Sultan dan Sultanah Negeri Kedah yang kini bersemayam di singahsana Persekutuan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong akan kembali ke Kedah untuk menghadiri Majlis Jamuan Negeri pada malam Isnin, 16.01.2011 di Dewan Santapan Istana Anak Bukit. Selain daripada itu acara-acara yang telah diatur adalah perasmian masjid oleh Tunku Anuar, majlis jamuan rakyat, jamuan Persatuan Jaksa Pendamai, temasya sukan sungai, jamuan Jemaah Datuk-Datuk dan pertandingan golf keputeran.

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Ke-84 Syah ucapkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlish, Semuga Tuanku dipanjangkan Usia dan Di Murahkan Rezeki. AMIN Dirgahayu Tuanku Patik.

Sumber : Bernama

No comments: