Sunday, January 22, 2012

Puyi Maharaja Terakhir Cina

Puyi Maharaja Cina Terakhir

Maharani Wanrong
Maharani Cina (1922-1924) Maharani Manchukuo (1934-1945)

Wenxiu - Isteri Kedua yang merupakan pilihan pertama Puyi semasa proses pemilihan isteri beliau dijalankan.
Tan Yuling - Dikatakan sebagai isteri yang paling disayangi oleh Puyi


22.01.2012, Ahad - Sempena sambutan Tahun Baru Cina Syah nak kongsi cerita serba sedikit mengenai Puyi atau Aixin-Jueluo Puyi iaitu Maharaja Terakhir Cina atau lebih dikenali dengan panggilan The Last Emperor of China. Ditabalkan sebagai Maharaja Xuantong pada 1908 hingga 12.02.1912 dan sebagai Maharaja tanpa kuasa dari tahun 1912 hingga 1924. Dengan turunnya Puyi dari atas tahta pada 1912 sebagai Maharaja Dinasti Qing ke-12 maka berakhirlah kegemilangan pemerintahan beraja yang begitu terkenal dari segi sejarahnya dirantau ini. Pada tahun 1924 Puyi meninggalkan Istana Diraja yang dikenali sebagai Kota Larangan dan berpindah ke Zhang Garden di Tianjjin. Pada 01.03.1934 mengistiharkan dirinya sebagai Maharaja Kangde bagi kerajaan boneka Manchukuo yang ditaja oleh Jepun sehingga 17.08.1945 apabila Perang Dunia Kedua Tamat. Dari situ bermulalah kehidupan beliau sebagai rakyat biasa.

Setelah Perang Dunia kedua tamat, Puyi telah ditangkap oleh Tentera Merah Soviet pada 16.08.1945 sewaktu dalam perjalanan menuju Jepun menggunakan kapal terbang, Puyi kemudiannya dibawa ke Siberia dan kemudiannya ke Khabarovsk berhampiran sempadan Cina. Apabila Republik Cina ditubuhkan pada 1949, kerajaan Soviet menyerahkan Puyi kepada Kerajaan Cina selepas rundingan yang diadakan diantara Cina-Rusia. Sekembalinya ke China Puyi telah ditahan. Puyi ke Beijing pada 1959 setelah hampir 15 tahun berada dalam tahanan di Rusia dan Cina. Beliau menyatakan sokongannya terhadap komunis dan bertugas sebagai tukang kebun bagi menyara hidupnya. Beliau kemudiannya menjadi ahli Persidangan Perunding Politik Rakyat Cina bermula 1964 sehingga akhir hayatnya dan dibayar gaji 100 yuan sebulan.

Puyi Diputerakan pada 07.02.1906 dan merupakan putera kepada Zaifeng, Prince Chun dan Guwalgiya Youlan. Datuknya adalah Yixuan, Prince Chun dan onyangnya adalah Maharaja Daoguang. Beliau ditabalkan sebagai Maharaja pada pada Disember 1908 dalam usia 2 tahun 10 bulan. Semasa ditabalkan diatas tahta beliau asik menangis sahaja kerana takut dengan keadaan sekelilingnya disamping pukulan gendang dan muzik dan telah ditenangkan oleh Ayahandanya sambil berkata "Jangan Menangis, ianya akan berakhir sekejap nanti".

Hanya pengasuh Puyi, Wen-Cho Wang dibenarkan mengikut beliau tinggal di Kota Larangan yang merupakan kediaman rasmi Maharaja kerana Wen boleh mengawal Puyi. Apabila Puyi berusia 8 tahun perkhidmatan Wen tidak diperlukan lagi, walau bagaimanapun selepas perkahwinan Puyi, Chen kemudiannya dibenarkan memasuki Kota Larangan untuk melawat Puyi. Puyi tidak pernah berjumpa bondanya setelah menjadi Maharaja sehinggalah 7 tahun kemudiannya. Puyi meninggal dunia pada 17 Oktober 1967 dalam usia 61 tahun di Beijing kerana masalah barah buah pinggang dan masalah jantung.

Mengikut undang-undang Republik Cina pada masa itu, mayatnya perlu dibakar. Abu mayatnya kemudian diletakkan di Babaoshan Revolutionary Cemetery yang menempatkan tempat meletak abu mayat ahli-ahli politik dan orang-orang kenamaan di Cina. Kawasan ini dahulunya merupakan kawasan tanah perkuburan untuk gundik-gundik diraja dan sida-sida sebelum Cina menjadi republik. Pada 1955 atas kebenaran kerajaan Cina, isteri terakhir Puyi, Le Shuxian mengalihkan abu mayat Puyi dan membina sebuah makam di kawasan tanah perkuburan komersial Yi County, di Hebei yang terletak berhampiran Western Qing Tombs yang menempatkan sembilan Makam Maharaja Dinasti Qing, tiga Maharani dan 69 orang putera.puteri dan gundik-gundik diraja.

Puyi dikahwinkan ketika berusia 15 tahun. Puyi mempunyi lima orang isteri iaitu :-
  • Empress Wanrong - Berkahwin dengan Puyi pada 1922 dan dijadikan Maharani. Beliau merupakan anak perempuan kepada Menteri Dalam Negeri Cina. Sebenarnya Wanrong merupakan pilihan kedua Puyi semasa proses pemilihan isteri tetapi disebabkan beliau berasal dari keluarga ternama dan dilihat mempunyai penampilan istemewa sebagai sebagai seorang Maharani, beliau telah dipilih sebagai isteri pertama Puyi. Nasibnya malang apabila diabaikan oleh Puyi yang menggangap beliau sebagai punca isteri keduanya meninggalkan Puyi. Wanrong menjadi penagih tegar candu dan meninggal dunia pada 1946 dalam penjara di Yanji, Jilin selepas ditangkap oleh pihak tentera selepas kejatuhan Manchuko dan Tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
  • Wenxiu - Dilahirkan pada 20.12.1909 dan berkahwin dengan Puyi pada 1922. Beliau telah meminta diceraikan pada 1931 dan ekoran daripada penceraian itu semua gelaran dirajanya telah ditarik semula. Kemudiannya beliau menghawini Major Liu Zhendong pada 1947. Pada 2004 kerajan Cina telah memberikan gelaran diraja kepada Puyi dan isteri-isterinya kecuali Wenxiu yang telah dilucutkan gelaran dirajanya.
  • Tan Yuling - Dilahrikan pada 1920 di Tatla Yuling. Menjadi Gundik Puyi semasa Puyi menjadi Maharaja di Manchukuo semasa Perang Sino-Jepun Kedua. Selepas berkahwin dengan Puyi, beliau diberikan gelaran Gundik Xiang. Meninggal dunia pada 1942 dan diberi gelaran Nobel Consort Mingxian dan dikebumikan di Kuil Banruo di Hsinking. Selepas kejatuhan Manchuko dan kekalahan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Puyi mengarahkan jasad Tan dibakar dan abunya diserahkan kepada keluarganya di Bejing. Puyi dikatakan menyimpan gambar Tan sehingga keakhir hayatnya.
  • Li Yuqin - Dilahirkan pada 15.07.1928. Berkahwin dengan Puyi sekitar 1943 dan diberigelaran Gundik Fu. Ada yang mengelarkan beliau sebagai Gundik Terakhir Maharaja Cina. Beliau ditangkap bersama Maharani Wanrong oleh tentera Rusia kerana masalah Candu dan dihantar kepenjara Changchun dan kemudiannya telah dibebaskan pada 1946. Selepas tu beliau bekerja dikilang kain dan juga di perpustakaan di Changchun dan selalu melawat Puyi di Penjara. Bercerai dengan Puyi pada 1957 dan kemudiannya berkahwin dengan seorang juruteknik Huang Yugeng dikurniakan dengan dua orang cahayamata. Beliau meninggal dunia dalam usia 73 tahun di Changchun pada 24.04. 2001 akibat masalah limpa.
  • Li Shuxian aka Li Shun-Hsien - Merupakan isteri terakhir Maharaja Cina. Dilahirkan pada 1925 merupakan seorang pekerja hospital dan berkahwin dengan Puyi selepas Puyi mendapat keampunan. Mereka berdua diperkenalkan oleh seorang kawan pada 1962 dan berkahwin dalam tahun yang sama. Menjadi isteri Puyi hingga akhir hayat Puyi. Menghadapi kesukaran selepas kematian Puyi dan memohon bantuan kewangan daripada pihak berkuasa dan mendapat royalti daripada autobiography Puyi oleh kerajaan Cina. Kehidupannya menjadi bertambah baik dan mewah hasil penerbitan memoirs beliau bersama tahun-tahun terakhir Puyi. Beliau meninggal dunia pada dalam usia 72 tahun pada 1997 akibat barah paru-paru. Wasiat terakhirnya adalah supaya dia, Puyi dan Gundik Tan Yuling disemadikan bersama dalam satu kubur tetapi tiada siapa yang menunaikan wasiatnya itu sehingga kini.
Begitulah nasib yang menimpa raja-raja dan keluarga mereka yang telah dijatuhkan dari tahta pemerintahan. Semasa mereka berkuasa kalau boleh basuh najis merekapun orang berebut nak buatkan sebab nak mengampu tetapi setelah tidak berkuasa dihina dan dipandang rendah. Itulah realiti kehidupan didunia ini bukan sahaja dalam kes raja-raja tetapi dalam kehidupan kita seharian dalam masyarakat. Kalau kita berkuasa, tak kiralah sebagai ketua dipejabat, supervisor atau ketua masyarakat/persatuan/kumpulan pastikan kita berlaku adil dan saksama dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan supaya jika satu hari nanti bila ditakdirkan kita berada dibawah orang akan tetap menghormati kita juga. Insyallah .............

No comments: