Wednesday, September 19, 2012

Apa itu Gendang Jaga-Jaga

19.09.2012, Rabu - Sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr.Haji Mohd.Yakub terdapat pelbagai Istiadat yang dijalankan mengikut Adat Istiadat Diraja Brunei.  Salah satunya adalah Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga.  Apa itu Gendang Jaga-Jaga agaknya yer? ....................

Gendang jaga-jaga adalah menjadi gendang kebesaran diraja yang digunakan dalam sesuatu istiadat tertentu khususnya dalam musim istiadat. Alat-alat yang terkandung di dalamnya sama juga seperti yang digunakan dalam Naubat, iaitu Nakara, dua buah Gendang Labik dan empat buah Serunai, tetapi ditambah lagi dengan tiga biji Chanang dan dua biji Gong.

Menurut orang tua-tua, diantara semua alat-alat Naubat itu, Nakara lah yang tertinggi sekali kedudukannya. Sebab itulah ia diletakkan ditempat yang tinggi daripada alat-alat Naubat lain dan sentiasa membawanya pun diusung di atas kepala oleh juru (pengual Nakara atau Ketua Pengendang), dan tempat menyimpannya juga diistemewakan daripada yang lain, iaitu diletakkan di atas kaban (peti) Mahkota.

Dikatakan juga sahap Nakara ini dibuat daripada kulit Tuma (sejenis binatang ganjil).  Alat-alat Naubat yang ada ini dikatakan semuanya diwarisi oleh Sultan-Sultan Brunei turun temurun, hanya diperbaiki sedikit-sedikit kerosakannya (jika ada).

Apabila sesuatu istiadat khas yang memerlukan Gendang jaga-jaga diadakan, maka sebagai menandakan istiadat itu telah dimulakan, Gendang Jaga-Jaga itu akan dibuka dengan rasminya dalam satu istiadat yang diadakan di Lapau atau di tempat yang disifatkan sedemikian dan diiringi dengan tembakan meriam kebesaran diraja sebanyak 21 das, kemudian diikuti pula dengan pemasangan perhiasan diraja.

Jika Gendang Jaga-Jaga dikurniakan kepada seseorang yang dimaksudkan, sekali lagi diadakan pembukaan rasminya dirumah atau tempat kediaman orang yang dikurniai itu dan diikuti dengan tembakan meriam kebesaran diraja menurut bilangan yang layak kepada yang dikurniakan itu, dan ia diikuti dengan pemasangan perhiasan diraja di kawasan yang bersesuaian.

Istiadat ini dinamakan Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga.  Setelah sempurna Gendang Jaga-Jaga dibuka, maka kesempurnaan itu akan disembahkan kepada yang dikurnai itu.

Setelah sempurna istiadat berkenaan, makan Gendang Jaga-Jaga ini akan ditutup dengan satu istiadat juga yang termasyhur dengan sebutan Istiadat Menutup Gendang Jaga-Jaga atau Istiadat Membaca Doa Selamat sebagai menandakan istiadat tersebut telah sempurna.

Dari waktu Gendang Jaga-Jaga itu dibuka hingga Gendang Jaga-Jaga ditutup, dinamakan musim istiadat. Maka dalam musim tersebut Gendang Jaga-Jaga ini akan dititirkan (dilagukan) menurut peraturannya pada waktu yang ditetapkan untuk menandakan pada masa itu ialah musim istiadat.

Istiadat yang memerlukan Gendang Jaga-Jaga ini lazimnya ialah Istiadat Berpuspa, Istiadat Memasyhurkan Pengiran Muda Mahkota, Istiadat Perkahwinan Diraja, Istiadat Mengurniakan Gelaran (Istiadat Mengarak Wazir), Istiadat Berkhatan Putera Diraja, Istiadat Berkhatan dan Bertindik Puteri Diraja, Istiadat Meluaran dan seumpamanya.

Gendang Jaga-Jaga yang digunakan dalam Majlis Berjaga-Jaga Diraja ini adalah dikhaskan untuk Sultan, tetapi jika dengan perkenan Baginda, alat kebesaran ini boleh juga dikurniakan kepada keluarga Diraja atau Pengiran yang akan diarak menjadi Pengiran Perdana Wazir atau Wazir.

Sumber :- Media Permata / Petikan Buku Adat Istiadat Diraja Brunei 

No comments: