Wednesday, September 26, 2012

Toh Puan Siti Zainab binti Baharuddin Meninggal dunia

26.09.2012, Rabu - Al-Fatihah ................. Dukacita dimaklumkan bahawa Toh Puan Siti Zainab binti Baharuddin telah meninggal dunia pagi tadi jam 07:15hrs di Hospital Pulau Pinang.  Allahyarhamah Toh Puan Siti Zainab binti Baharuddin merupakan balu kepada Allahyarham Tun Dr Hamdan Sheikh Tahir, mantan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.  Allahyarhamah yang berusia 85 tahun telah mendapat rawatan perubatan di Hospital Pulau Pinang semenjak tiga bulan lepas akibat serangan angin ahmar.  Jenazah Allahyarhamah telah dibawa pulang ke kediamannya di Lebuh Bukit Jambul dan telah dikebumikan selepas asar tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Negeri.

Allahyarhamah merupakan bekas seorang guru dan pernah menyandang jawatan Presiden Hoki Wanita Pulau Pinang dan penasihat kepada beberapa pertubuhan wanita.  Suami Allahyarhamah menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada tahun pada 1989 hingga 2001. Allahyarham Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir meninggal dunia pada tahun 2005.  Allahyarhamah meninggalkan tiga orang anak dan lima orang cucu.

Turut menziarahi jenazah Allahyarhamah adalah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri 2, Dr. P.Ramasamy, Yang Dipertua Majlis Islam Pulau Pinang, En Salleh Man, anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan beberapa pemimpin Barisan Nasional Pulau Pinang termasuk pengerusinya Teng Chang Yeow.

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah, semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini.  Marilah kita bersama-sama mendoakan keampunan dan menghadiahkan pahala bacaan Al-Fatihah agar roh Allahyarhamah Toh Puan Siti Zainab binti Baharuddin  sentiasa dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal solleh, Insyallah ...... Al-Fatihah ............................... 

1 comment:

husamworld said...

Thanks shah saya baru tahu. TYT sekarang sedang berada di London