Wednesday, October 3, 2012

Tuanku Abdul Halim Diberikan Sambutan Penuh Adat Istiadat di Imperial Palace

03.10.2012, Rabu - Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badli Shah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidum telah diberikan sambutan penuh adat istiadat sempena   kunjungan negara keatas Maharaja Jepun, Maharaja Akhito dan Maharani Michiko di Imperial Palace.  Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Maharaja Akhito,  Maharani Michiko, Putera Mahkota Naruhito serta Putera dan Puteri Akishino. Baginda kemudiannya diperkenalkan kepada kerabat diraja Jepun dan Perdana Menteri Yoshihiko Noda dan isteri Hitomi Noda serta anggota kabinet Jepun. Lagu kebangsaan negara kita "Negaraku" serta lagu kebangsaan Jepun "Kimigayo" berkumandang diudara dimainkan oleh pasukan pancaragam Pasukan Bela Diri Jepun.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya berkenan menerima tabik hormat daripada Perbarisan Kehormat yang terdiri daripada 132 anggota Pasukan Bela Diri Darat Jepun. Kelihatan kanak-kanak sekolah dari Sekolah Rendah Gakushuin mengibarkan "Jalur Gemilang" dan "Hinomaru" (bendera Jepun) ketika Tuanku Abdul Halim memeriksa perbarisan kehormat. Seri Paduka Baginda berdua dan Maharaja serta Maharani Jepun kemudiannya beredar untuk berangkat ke Kamar Bambu atau "Take-no-Ma" untuk mengadakan kunjungan negara terhadap Maharaja Jepun.

Malam ini juga nanti akan diadakan Majlis Santapan Diraja bagi meraikan Seri Paduka Baginda berdua serta rombongan Diraja Malaysia di istana yang sama.

Sumber :- Bernama

No comments: