Sunday, November 25, 2012

Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Sertai Larian Bandar 2012

25.11.2012, Ahad - Pagi tadi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, isteri kepada  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenaan mencemar duli menyertai Larian Bandar 2012 yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan, Brunei. Larian Bandar 2012 kali ke-42 ini diadakan sempena memperingati penukaran nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Bagawan. Acara Larian Bandar 2012 dianjurkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Bagawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.  Acara ini bermula jam 05:30hrs dan telah dilancarkan oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Selepas tamat larian, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah telah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang mengikut katageri yang dipertandingkan iaitu Larian 5km kategori Lelaki, Larian 5km kategori Wanita, Larian 10km kategori Lelaki dan Larian 10km kategori Wanita serta Larian 21km kategori Lelaki dan Larian 21km kategori Wanita.

Penukaran nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Bagawan dilaksanakan atas titah perintah  Sultan Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada 04.10.1970.  Tarikh 04 Oktober dipilih sempena memperingati tarikh Almarhum Ayahanda baginda turun dari tahta kerana masalah kesihatan dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Baginda sebagai Sultan Brunei yang baru.   Pada tahun 2007 pula, keluasan Bandar Seri Bagawan telah ditambah dari 12.87km persegi kepada 100.36km persegi.

Sumber : Jabatan Penerangan Brunei / Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei / Rahmatrivia

No comments: