Thursday, January 24, 2013

Tuanku Abdul Halim Hadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2013

Tuanku Abdul Halim telah berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasaul kepada Datuk Seri Anis Abot. 

24 Januari 2013, Khamis :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan tahun 1434H di Masjid Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya. "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah telah dipilih sebagai tema sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 2013. Turut serta dalam majlis ini adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badwi.

Majlis hari ini didahului dengan perarakan 13,000 peserta sejauh 1.7 kilometer yang terdiri daripada 74 kontijen kerajaan, 30 kontijen badan berkanun, lapan badan beruniform, 21 kontijen swasta, lima kontijen institusi pengajian tinggi serta 12 kontijen sekolah. Perarakan pada tahun ini juga turut disertai oleh kumpulan motosikal berkuasa tinggi, Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya serta pasukan bot air.


Pada majlis hari ini, Tuanku Abdul Halim telah berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasaul kepada Datuk Seri Anis Abot.  Datuk Seri Anis Abot merupakan bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dan juga merupakan bekas Mufti Sarawak. Anugerah Maulidur Rasul telah diberikan kepada pelajar kurang upaya Khairunnisaq Khairuddin yang merupakan pelajar cemerlang Peperiksaan Menengah Rendah atau PMR dari SMK Bandar Mas, Johor. Selain daripada itu, Anugerah Maulidur Rasul juga diberikan kepada Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim, Datuk Nooh Gadut, Muhammad Fitri Abdullah, Che Wan Alias Che Wan Abdullah, Tan Sri Mohd Zaman Khan, Mohd Bakir Mansor dan Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Dalam titah baginda, Tuanku Abdul Halim menekankan bahawa perpaduan akan dapat dicapai dan kecemerlangan akan menjadi kenyataan sekiranya pendekatan wasatiyyah dihayati sepenuhnya.  Tuanku Abdul Halim juga menyeru agar rakyat bersama-sama mengekal dan mengukuhkan perpaduan untuk membina kekuatan bagi memajukan agama, bangsa dan negara. Tambah Tuanku Abdul Halim lagi, sirah Rasulallah juga menunjukkan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat samada dari segi keturunan, pegangan ugama, budaya dan bahasa, bukanlah satu masalah dan penghalang kepada perpaduan asalkan kesederhanaan atau pun pendekatan wasatiyyah itu dijadikan amalan dalam kehidupan.

Tambah baginda lagi "Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad S.A.W. iaitu dengan penuh kesederhanaan dan berimbang"

Sumber :- Bernama 

No comments: