Friday, February 15, 2013

Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah

15 Februari 2013, Jumaat :-

Tahukah anda bahawa Masjid Istana Diraja yang berada didalam kawasan Istana Alam Shah, Klang telah diilhamkan pembinaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Baginda juga  telah membiayai sepenuhnya kos pembinaan Masjid Istana Diraja ini yang bernilai RM 9 juta.  Pembinaan masjid bermula Januari 2009 dan siap sepenuhnya pada Mei 2011. Masjid dengan keluasan 2160 meter persegi ini dibina bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan tali persaudaraan waris-waris kerabat diraja Selangor seperti mmengadakan majlis tahlil, akad nikah, tempat meletakkan jenazah, solat jenazah dan seumpamanya. Selain daripada itu masjid ini juga dijadikan pusat ilmu tahfiz Al-Quraan yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Istana Alam Shah.  Masjid ini juga boleh digunakan untuk bersolat bagi  orang awam yang menghadiri sebarang majlis yang diadakan di Istana Alam Shah. Walau bagaimanapun Solat Jumaat tidak di adakan di Masjid Istana Diraja ini.

Masjid ini mempunyai sebuah menara setinggi 36 meter dan empat buah pintu gerbang dengan hiasan jubin-jubin hasil seni tangan dari Turki dimana pintu gerbang  utamanya menghadap Istana Alam Shah. Permukaan kubah masjid diukir  dengan corak geometeri ringkas yang disusun secara seragam manakala  bahagian atas  menara pula dihiasi dengan elimen muraqanas atau senireka yang menerapkan corak berunsur islam.  Setiap penjuru dinding masjid dihiasi dengan pelbagai jenis kaligrafi ayat-ayat suci Al-Quraan. 

Masjid ini menyerupai reka bentuk masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir terutama pada pada menara, kubah dan pintu gerbang. Walau bagaimanapun  terdapat juga suntikan elimen estetik Melayu dibeberapa bahagian masjid seperti ukiran kayu pada bahagian pintu utama dan mimbar masjid. Rekaan masjid ini lebih berkonsep terbuka dimana ruangan dalaman bangunan kebanyakannya tidak dipisahkan oleh dinding  bagi mendapatkan  peredaran udara segar serta meminimumkan pengunaan penghawa dingin.

Kelihatan para tetamu sedang menjamu selera selepas Majlis Tahlil Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah yang diadakan malam tadi (14.02.2013) di Masjid Istana Diraja. 

Peristiwa paling penting yang berlaku di masjid ini selepas ianya siap dibina pada Mac 2011 adalah ianya digunakan buat pertama kalinya untuk menyempurnakan jenazah Bonda tersayang Sultan Sharafuddin  Idris Shah Alhaj yang mangkat pada 31 Mac 2011. Jenazah Almarhumah Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ehsan binti Tengku Badar Shah telah dimandikan dan disolatkan di masjid ini sebelum dimakamkan selepas solat Asar di Makam Diraja Shah Alam.

Sumber :- Kosmo / Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz /T Soraya

No comments: