Friday, March 29, 2013

Al-Sultan Kelantan Diminta Campurtangan Dalam Isu Penyelewengan Tanah Di Kelantan

29 Mac 2013, Jumaat :-

Pagi semalam lebih kurang jam 10:00hrs,  kira-kira 5,000 rakyat negeri Kelantan berhimpun diperkarangan Istana Balai Besar, Kota Baharu, Kelantan untuk menyampaikan memorandum bantahan berhubung isu penyelewengan tanah oleh kerajaan PAS kepada Al-Sultan Kelantan,  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V. Memorandum setebal 315 muka surat yang meminta KDYMM Sultan Muhammad V campur tangan dalam menyelesaikan isu tersebut diserahkan kepada wakil Al-Sultan Kelantan, Pegawai Tadbir Istana, Zairi Abdullah.

Perhimpunan ini diketuai oleh pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan atau MTRK.  Presiden MTRK, Azmi Ali dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa memorandum itu mengandungi maklumat mengenai senarai syarikat luar yang menerima konsesi, peta kawasan, pendeposit yang meneroka tanah, resit dan hasil kajian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengenai kemusnahan tanah. Tambah beliau lagi, penyerahan memorandum ini kepada Al-Sultan Kelantan adalah langkah terakhir setelah rayuan yang dibuat kepada kerajaan negeri sebelum ini tidak mendapat maklumbalas positif.

Sumber :- Kosmo / Berita TV3

No comments: