Monday, March 11, 2013

Princess Lilian, Duchess of Halland Meninggal Dunia Dalam Usia 97 Tahun

11 Mac 2013, Isnin :- 

Semalam Her Royal Highness Princess Lilian, Duchess of Halland telah meninggal dunia dalam usia 97 tahun di Stockholm, Sweden. Beliau menjadi terkenal kerana kisah percintaannya dengan suaminya Mendiang Prince Bertil, Duke of Halland. Princess Lilian dilahirkan sebagai Lillian May Davies di Swansea, South Wales, Britain pada tahun 30 Ogos 1915 dan anak pasangan William John Davies dan Gladys Mary Curran. Beliau merupakan seorang model. Beliau telah mengugurkan satu huruf L dalam ejaan namanya daripada Lillian kepada Lilian apabila menjadi model.

Princess Lillian bertemu dengan Prince Bertil di London pada 1943 dalam satu majlis sempena meraikan hari ulangtahun beliau yang ke 28.  Semenjak daripada pertemuan itu mereka telah saling jatuh cinta walaupun pada masa itu beliau sudah bersuami.  Beliau kemudian menceraikan suaminya,  Walter Ivan Craig yang merupakan seorang pelakun berbangsa Scottish pada tahun 1945.

Pada tahun 1947 kekanda kepada Prince Bertil, Prince Gustaff Adolf, Duke of Vasterbotten yang merupakan pewaris kedua tahta Sweden telah meninggal dunia. Disebabkan anakanda kepada Prince Gustaf  Adolf, Prince Carl Gustaf masih kecil dan berumur satu tahun maka Prince Bertil dilantik sebagai Pewaris Tahta kedua sehingga Prince Carl Gustaf cukup umur. Jika Raja Sweden meninggal dunia maka Prince Carl Gustaff akan menjadi Raja yang baru dan disebabkan beliau masih dibawah umur kemungkinan untuk Prince Bertil akan menjadi Pemanku Raja Sweden. Disebabkan perkara inilah beliau tidak dapat mengahwini kekasihnya yang merupakan "Orang Kebanyakan" bukan dari kerabat diraja.  Jika mereka berkahwinan juga maka perkahwinan ini tidak akan direstu oleh King Gustaf VI Adolf dan Parlimen dimana Prince Bertil akan hilang hak sebagai pewaris tahta dan tidak layak menjadi Pemangku Raja. Sehubungan dengan itu, mereka  telah menjalani hubungan secara rahsia selama 30 tahun dan Princess Lilian menetap di sebuah kediaman peribadi Prince Bertil di Sainte-Maxime di Perancis.

Walau bagaimanapun Prince Bertil tidak pernah menjadi Pemangku Raja kerana Ayahandanya telah dipanjangkan umur sehingga Prince Carl Gustaff meningkat dewasa.  Prince Carl Gustaff akhirnya menjadi Raja Sweden menggantikan datuknya dengan gelaran King Carl XVI Gustaf pada tahun 1973. King Carl XVI Gustaf memerintah Sweden hingga sekarang.  Zaman berubah dan King Carl XVI Gustaf sendiri telah berkahwin dengan "Orang Kebanyakan" iaitu Silvia Sommerlath yang kini bergelar Queen Silvia. Baginda telah memperkenankan perkahwinan Ayahanda Saudaranya maka Prince Bertill dan Princess Lilian akhirnya berkahwin secara rasmi pada 07 Disember 1976 di Gereja dalam Istana Drottningholm dihadapan King Carl XVI Gustaf dan Queen Silvia.  Dengan perkahwinani ini, Princess Lilian merupakan sebahagian daripada Kerabat Diraja Sweden. 

Prince Bertil meninggal dunia pada 05 Januari 1997 disisi Princess Lilian dikediaman mereka di Villa Solbacken, Stockholm. Selepas kematian suaminya sehingga tahun 2010, Princess Lilian masih lagi mewakili kerabat diraja menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan.  Beliau juga menjadi penaung kepada beberapa organisasi disamping menjadi ahli kehormat beberapa buah kelab dan persatuan yang diasaskan oleh Prince Bertil. Dari tahun 1976  beliau telah menghadiri majlis penyampaian Hadiah Nobel setiap tahun tanpa gagal sehingga tahun 2005 dan mengakhiri tradisi ini atas alasan faktor usia dan sudah uzur dalam usia 91 tahun. pada tahun 2000,beliau mengeluarkan buku biografi mengenai kehidupannya bersama Prince Bertil.

Pada tahun 2008 Princess Lilian terjatuh di kediamannya dan telah patah bahagian pinggang. Pada bulan Februari 2009 beliau terjatuh sekali lagi dikediamannya. Pada 03 Jun 2010 pihak Istana memaklumkan bahawa Princess Lilian mengidap Alzheimer dan semenjak dari itu beliau tidak lagi kelihatan di khalayak ramai.  Beliau menetap dikediamannya di Villa Solbacken dibawah jagaan tiga orang jururawat. 

Princess Lilian meninggal dunia pada tengahari Ahad,10 Mac 2013 dalam usia 97 tahun dikediaman beliau. Pihak Istana tidak mengeluarkan kenyataan berhubung sebab-sebab kematian Princess Lilian. Semenjak kebelakangan ini tahap kesihatan Princess Lilian  tidak stabil disebabkan sakit tua dan mengidap Alzheimer. Princess Lilian tidak mempunyai cahayamata. 

Sumber :- Wikipedia / Reuters / The Local

No comments: