Monday, March 18, 2013

Sumbangan Peribadi Sultan Johor Kepada Tabung Kebajikan PDRM Disampaikan Oleh Tunku Laksamana Johor

18 Mac 2013, Isnin :-

Hari ini YAM Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim telah mewakili Paduka Ayahandanya untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000.00 kepada  Tabung  Kebajikan PDRM. Sumbangan diserahkan kepada Ketua Polis Johor, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Sharif dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berbesar hati memberi sumbangan peribadi berjumlah RM100,000.00 untuk Tabung Kebajikan PDRM bagi membantu keluarga wira-wira negara yang terkorban dalam seranggan penganas Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Dalam titahnya, Tunku Abdul Jalil menyatakan bahawa ini adalah satu tanggungjawab walaupun sumbangan ini adalah kecil berbanding pengorbanan yang dicurahkan oleh pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara. Beliau bertitah "Mereka (anggota terkorban) adalah pewira-pewira negara dan mereka juga adalah sahabat saya.  Jestru, adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu keluarga mereka semampu yang saya boleh". Tunku Jalil juga mengucapkan takziah kepada anggota keluarga anggota keselamatan negara yang telah tekorban dan meminta agar seluruh rakyat Johor berdoa supaya anggota keselamatan yang sedang bertugas di Sabah mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T.

Tunku Abdul Jalil yang juga merupakan seorang Inspektor Polis memaklumkan bahawa beliau akan mengurangkan penglibatannya dalam tugas perkhidmatan sebagai pegawai polis secara aktif disebabkan tuntutan tugas istana dan kerja amal semenjak bergelar Tunku Laksamana Johor pada 22 November 2012. Walau bagaimanapun beliau berjanji akan terus memberikan sokongan padu dalam apa jua bentuk bantuan sekiranya diperlukan oleh Polis Diraja Malaysia terutamanya Unit Tindakan Khas.

Sumber :- Bernama

No comments: