Saturday, April 13, 2013

Mengapa Ibubapa Crown Princess Maxima Tidak Dibenarkan Menghadiri Sebarang Upacara Rasmi di Belanda

13 April 2013, Sabtu :-

Setiap ibubapa tentunya gembira  untuk menghadiri majlis perkahwinan anak-anak mereka apatah lagi jika bakal menantu mereka itu adalah anak raja dan bakal menjadi Raja sesebuah negara atau negeri. Bila sebut sahaja berkahwin dengan kerabat diraja, kita membayangkan semuanya yang indah-indah belaka tetapi tak semua berakhir dengan kegembiraan kerana keluarga diraja juga adalah manusia dan tak lari daripada masalah. Itulah yang berlaku kepada kedua ibubapa Crown Princess Maxima yang bakal menjadi Isteri kepada Raja Belanda pada 30 April ini nanti apabila suaminya menggantikan bonda mertuanya sebagai Raja Belanda pada tarikh berkenaan.

Tahukah anda bahawa Ibubapa Crown Princess Maxima tidak dibenarkan menghadiri sebarang upacara rasmi di Belanda termasuklah Majlis Perkahwinan anak mereka iaitu Crown Princess Maxima dengan Crown Prince Willem-Alexander, Prince of Orange pada tahun 2002.  Gambar diatas adalah kedua ibubapa Princess Maxima iaitu Jorge Horacio Zorreguieta Stefanini berusia 85 tahun dan Maria del Carmen Cerruti Carricart. Zorreguieta pernah menjadi Menteri Pertanian Argentina pada 1979 hingga 1981 sewaktu pemerintahan regim diktator tentera Presiden Jorge Rafael Videla. Parlimen Belanda telah mengadakan penyiasatan berhubung penglibatan beliau dalam Dirty War semasa rejim Presiden Jorge Rafael Videla dimana 10,000 hingga 30,000 orang telah diculik dan kemudiannya dibunuh dalam tindakan ketenteraan sebelum regim berkenaan dijatuhkan dan sistem demokrasi dilaksanakan di Argentina pada 1983.  

Dalam kenyataanya, beliau memaklumkan bahawa beliau telah berhenti dari kabinet setahun sebelum kejatuhan rejim Videla dan sebagai orang awam beliau tidak mengetahui mengenai Dirty War. Profesor Bud yang menjalankan siasatan bagi pihak Parlimen Belanda dalam kesimpulannya memaklumkan bahawa adalah tidak rasional bagi seorang yang mempunyai kedudukan politik yang tinggi dalam kerajaan sepertinya tidak mengetahui mengenai Dirty War.  Beliau didapat bersalah dalam hal ini tetapi Perlimen Belanda telah memberi keizinan untuk perkahwinan anak beliau kerana Maxima tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu berkenaan. Perkahwinan Raja dan Pewaris Raja di negara Barat perlu mendapat restu Parlimen dan jika tidak mendapat restu dan perkahwinan diteruskan juga, mereka akan kehilangan hak sebagai Raja atau Pewaris Tahta.

Disebabkan kesalahan ini, Jorge Horacio Zorreguieta Stefanini tidak dibenarkan menghadiri sebarang upacara rasmi di Belanda termasuklah majlis perkahwinan anaknya yang merupakan majlis rasmi negara. Walau bagaimanapun beliau dan isterinya dibenarkan ke Belanda untuk menghadiri majlis "christening" cucunda-cucundanya kerana ianya adalah majlis yang dibuat secara peribadi dan bukannya merupakan upacara rasmi negara. Sewaktu majlis ini mereka yang menentang rejim bekas tentera Argentina yang berada di Belanda telah membuat bantahan mengenai kehadiran Zorreguieta dan isterinya. Sudah pastinya pada 30 April ini nanti Zorreguieta dan isterinya tidak boleh menghadiri majlis bersejarah penyerahan tahta kepada menantunya sebagai Raja Belanda dan Princess Maxima sebagai Isteri kepada Raja Belanda (Queen Consort) yang akan berlangsung di Amsterdam yang merupakan ibu negara Belanda.

Jika anda sebagai ibubapa tentu anda berasa sedih dengan apa yang berlaku tetapi terpaksa diterima demi kebahagian anak-anak bak kata orang "ditelan mati emak diluah mati bapa". Itulah salah satu contoh pengorbanan ibubapa terhadap anaknya, beliau telah memberi izin untuk perkahwinan ini tetapi dalam masa yang sama, beliau dan isteri yang merupakan warga Argentina terpaksa akur dengan tindakan yang telah ditetapkan oleh Parlimen Belanda.

Sumber:- Wikipedia/MBS 

No comments: