Thursday, May 9, 2013

Tuanku Abdul Halim Ziarahi Dato' Seri Azizan dan Dato' Seri Dibedah Hari Ini

09 Mei 2013, Khamis :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidum telah berkenan mencemar duli menziarahi Mantan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak di Hospital Pulau Pinang. Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba ke Hospital Pulau Pinang pada jam 16:50hrs dan menghabiskan masa selama 15minit menziarahi Dato' Seri Azizan.  Turut mengiringi baginda adalah Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas ; Isteri kepada YTY Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor bt Shariff ; Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah, Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah ; Menteri Besar Kedah, Datuk Muhriz Tun Mahathir dan Ahli Parlimen Pokok Sena yangjuga Naib Presiden PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar.

Dato' Seri Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah telah menang kerusi N20 DUN Sungai Limau dalam PRU ke-13 pada 05 Mei lepas dengan majoriti 2774 dengan bilangan undi 13,294.  Beliau mengalahkan wakil BN Mohd Fazillah Mohd Ali yang mendapat 10,520 undi, calon Bebas Sobri Ahmad mendapat 100 undi dan seorang lagi calon Bebas Abdullah Hashim mendapat 84 undi. Walau bagaimanapun PAS telah kehilangan kuasa ditangan BN dalam PRU ke-13 dengan majoriti Mudah dimana BN menang 21 kerusi daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dato' Seri Azizan dimasukkan ke Kedah Medical Center pada pagi Isnin selepas berakhirnya PRU ke-13 pada hari Ahad kerana jangkitan kuman dikakinya. Keadaan beliau semakin kritikal dan kemudiannya dirujuk kepada Hospital Pulau Pinang pada jam 16:00hrs hari Selasa 07 Mei 2013.  Dato' seri Azizan dilaporkan koma dan dimasukkan ke wad  CCU Hospital Pulau Pinang pada hari Rabu.  Beliau kemudiannya dilaporkan berada dalam keadaan stabil pada pagi ini. Berita terkini daripada MStar online memaklumkan bahawa bahawa kedua-dua kaki beliau dari paras lutut akan dipotong atas nasihat doktor untuk mengelakkan jangkitan berkenaan merebak ke anggota yang lain. 

Kedua-dua isteri dan anak-anak beliau telah memberi persetujuan atas perkara ini dan pembedahan dilakukan pada 16:45hrs tadi dan ada yang menyatakan jam 18:30hrs. Perkembangan terkini memaklumkan beliau telah selamat menjalani pembedahan berkenaan pada jam 23:30hrs.    Dato' Seri Azizan dimasukkan ke hospital kerana masalah kencing manis dan bukannya jantung seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Marilah kita beramai-ramai mendoakan agar Dato' Seri Azizan Abdul Razak cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik. Amin.


Semuga Orang Melayu Bersatu Hati Demi Bangsa, Agama dan Negara kerana 
Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh.


Sumber :- Bernama / MStar Online /Muhd Saiful.

No comments: