Saturday, June 29, 2013

Salah Seorang Kerabat Diraja Johor Dihukum Penjara

29 Jun 2013, Sabtu :-

Undang-undang tidak mengenal siapa kerana yang didapati bersalah tetap akan dihukum  dan itulah nasib yang menimpa salah seorang kerabat diraja Johor, Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah bin Tunku Qadir. Kosmo dalam laporannya hari ini memaklumkan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah (28 tahun) bersama dua lagi rakannya Alex Foo Hee Wee (42 tahun) dan Mohd Arif Husin (36 tahun) dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula semalam oleh Mahkamah Seksyen Johor Baharu. Hakim Zamri Bakar telah menolak permohonan barisan peguam tertuduh untuk menanguhkan hukuman bagi memberi laluan kepada anak guam mereka untuk menunaikan ibadah puasa.

Dalam insiden yang berlaku pada 06 Mei 2012, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Peninju Negara, Muhammad Farkhan Harun (25 tahun) diantara jam 04:30 hrs hingga 07:00 hrs di Taman Molek, Johor Baharu, Johor. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanu Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Muhammad Farkhan dikatakan menerima panggilan telefon daripada salah seorang suspek yang meminta beliau datang ke rumahnya.  Apabila sampai kerumah berkenaan Farkhan terus diserang sekumpulan enam orang menggunakan senjata seperti kayu dan besi.  Insiden ini menyebabkan beliau cedera parah dan tidak dapat beraksi dalam Sukan Olimpik London 2012.

Peristiwa ini menyebabkan Farkhan mengalami tekanan emosi ditambah lagi dengan pemergian ayah tersayang beberapa bulan selepas kejadian. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau masih dalam keadaan fobia kerana tiga lagi yang terlibat dalam kes ini  masih lagi bebas.

Sumber:- Kosmo

No comments: