Saturday, June 1, 2013

Tuanku Abdul Halim Berangkat Ke Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Persekutuan Sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong

Datuk Seri Dr Rais Yatim menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri daripada Tuanku Abdul Halim.

01 Jun 2013, Sabtu :-

Sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Persekutuan yang diadakan di Istana Negara.  Istiadat berlangsung dalam suasana penuh adat istiadat dan gilang gemilang pagi ini dengan dihadiri oleh para pemimpin negara dan  para perwakilan negara asing. Para jemputan mula memasuki Istana Negara seawal jam 07:30hrs.  


Istiadat dimulakan dengan lagu Kebangsaan "Negara Ku" sejurus keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri Istana Negara diikuti dengan bacaan doa. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Malaysia. Tuanku Abdul Halim kemudiannya menyampaikan titah ucapan sebelum mengurniakan darjah kebesaran kepada 43 penerima untuk hari pertama ini.  Seramai 1,574 orang menerima darjah kebesaran daripada Tuanku Abdul Halim sempena sambutan hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2013. 

Terdahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun berada di petrana diraja sebelum Tuanku Abdul Halim memeriksa kawalan kehormat utama dengan panji-panji diraja diiringi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebanyak 21 das tembakan meriam kehormat dilepaskan keudara dalam acara pemeriksaan perbarisan ini.

Sumber :- Bernama 

No comments: