Saturday, June 8, 2013

Tuanku Abdul Halim Hadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong



08 Jun 2013, Sabtu :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Istiadat ini diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong XIV dan ianya merupakan satu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang ATM kepada negara.

Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada jam 09:00hrs disambut oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan diikuti lagu Negaraku serentak dengan tembakan 21 das meriam. Tuanku Abdul Halim kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima Tabik Hormat Diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai pegawai dan anggota dari tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Darat Diraja Malaysia.


Dalam masa yang sama Kelihatan lima buah helikopter milik ATM iaitu tiga pesawat Nuri, satu Agusta dan satu Fennec membawa bendera Malaysia dan bendera ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM  berlegar diruang udara Dataran Merdeka melakukan upacara lintas hormat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah kemudiannya diiringi oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menaiki kenderaan khas untuk melakukan pemeriksaan pasukan kawalan kehormat yang terdiri daripada 22 pegawai dan 540 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Rosli Abu Bakar.


Setelah selesai pemeriksaan barisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM dibawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhammad Nor Azizan Yahya memainkan lagu-lagu patriotik. Selepas itu Istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong bermula dengan penuh istiadat kententeraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali menandakan istiadat akan berakhir. Kemudiannya Kolonel Haji Nawawi Daud dari Kor Agama ATM membaca doa dan berakhirlah Istiadat ini.  

Akhir sekali Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan lintas hormat kelima-kelima pesawat ATM sebelum baginda berdua berangkat meninggalkan majlis serentak dengan alunan lagu Negaraku.


Turut serta dalam Istiadat ini adalah  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan asing di Malaysia serta masyarakat umum.  

Sumber :- Bernama

No comments: