Sunday, July 28, 2013

Tengku Mahaleel Dilantik Presiden BAM yang Baru

Julai 2013, Ahad :-

Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Tengku Mahaleel bin Tengku Ariff yang telah dilantik sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia atau BAM untuk penggal 2013/2017 dalam Mesyuarat Agung BAM yang diadakan di Kuala Lumpur semalam. Tengku Mahalell merupakan Kerabat Diraja Kelantan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holding Berhad. Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Presiden BAM dan juga Presiden Persatuan Badminton Kelantan.  Tengku Mahaleel mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Margaret Ley dan dikurniakan dengan tiga orang cahayamata iaitu Tengku Djan Ley, Tengku Ezan Ley dan Tengku Khairy.  Tengku Mahalell pernah menjadi juara badminton dalam acara perseorangan dan bergu serta menjadi kapten kriket Kolej Sultan Ismail, Kelantan dan pasukan bola lisut pada tahun 1960-an dan awal tahun 70-an.  Beliau juga menganggotai pasukan badminton Universiti Malaya bersama Tan Aik Huang yang pernah menjadi juara All England.  Beliau juga merupakan pelumba rali antarabangsa dan pernah menjadi juara rali Malaysia dalam tahun 1989.

Dalam kenyataanya semalam, Tengku Mahaleel memaklumkan bahawa beliau memerlukan masa sebulan untuk menetapkan hala tuju baru badan induk badminton itu dengan meneliti sistem pengurusan BAM. Beliau juga berhasrat menjadikan badminton sebagai satu industri dan meletakkan Malaysia sebagai pencabar utama sukan badminton diperingkat antarabangsa. Tambah beliau :-
  • "Cabaran dalam badminton ialah bagaimana untuk melahirkan lebih ramai jaguh pada masa akan datang sekiranya masih menggunakan cara lama.  Saya dan kepimpinan baru akan bekerjasama meneliti perkara ini.
  • "Kita akan bekerjasama dengan ahli gabungan untuk mencari jalan bagaimana negara lain meningkat dalam badminton, kita akan teliti penggunaan teknologi atau pendekatan sains sukan yang digunapakai oleh mereka,"
  • "Untuk menjadikan badminton satu industri kita kena cari ramai pemain yang berkaliber, ibu bapa juga memain peranan penting dalam menggalakkan anak mereka dalam bersukan. Kita perlu lihat industri sukan kini menawarkan pendapatan lumayan.
  • "Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang jutawan." 

Sumber:- Bernama

No comments: