Saturday, September 14, 2013

Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin


14 September 2013, Sabtu :- 

Malam tadi telah diadakan Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng di Masjid Jamek, Petra Jaya di Kuching, Sarawak. Turut serta dalam majlis ini adalah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Kelihatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng (berbaju Melayu warna merah) di Masjid Jamek Petra Jaya.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Louis dikalangan teman-teman rapat dan kenalannya diputerakan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu, Sarawak dan satu-satunya anak lelaki kepada Allahyarham Abang Barieng bin Abang Anyut yang merupakan seorang ketua kaum Melanau yang amat dikenali dan disegani. Walaupun berusia 92 tahun, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin masih lagi kelihatan sihat dan cergas bagi menjalankan tugas-tugas rasmi yang diamanahkan kepada beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin merupakan individu pertama yang dilantik buat kali kedua sebagai Yang di-Pertua Negeri.  Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak buat pertama kalinya pada tahun 1977 sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-3 dan buat kali keduanya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-6 bermula tahun 2000 hingga kini.  Perlantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak adalah seperti berikut :-

  • Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 02April 1977 hingga 01 April 1981;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2000 selama tempoh 4 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2004 selama tempoh 2 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2006 selama tempoh 2 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2008 selama tempoh 1 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2009 selama tempoh 2 tahun; dan
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2011 selama tempoh 2 tahun.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin berkahwin sebanyak dua kali.  Isteri pertama beliau, Allahyarhamah Toh Puan Hajah Dayang Umi Kalthum telah meninggal dunia dan isteri beliau sekarang adalah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah. Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad mempunyai sembilan orang cahayamata dan 30 orang cucu serta telah bercicit.

Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lahir ke-92 tahun kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng  semuga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amin.

Sumber :- Bernama / Radin / Wikipedia / Portal Majlis Raja-Raja Melayu

No comments: