Monday, September 16, 2013

Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Brunei Ke-67 Meriah

16 September 2013, Isnin:- 

Semalam 15 September 2013, telah diadakan beberapa program sempena sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan atau Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-67. Sambutan sepatutnya diadakan pada Julai lepas tetapi ditunda hingga hari ini kerana pada waktu itu bulan Julai jatuh  dalam bulan Ramadhan dalam kalendar Islam. 


Aturcara Memperingati Hari Puja Usia Ke-67 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saiffuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dimulai dengan Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan awal pagi tadi. Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Brunei dan kerabat diraja dialu-alukan dengan kibaran bendera dan pukulan hadrah oleh penuntut-penuntut sekolah menengah ynag berbaris disepanjang jalan menuju ke Istiadat Barisan Kehormat.

Tuanku Sultan Brunei kemudiannya berkenan menerima hormat diraja dengan diiringi Lagu Kebangsaan Brunei "Allah Peliharakan Sultan" oleh Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Brunei dan PasukanPolis Diraja Brunei diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das. Tuanku Sultan Brunei kemudiannya berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan yang terdiri daripada anggota-anggota Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TUDB),Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), PDB,  jabatan-Kemudian pasukan-pasukan perbarisan beruniform termasuk Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Perkhidmatan Bomba Penerbangan Awam dan pertubuhan-pertubuhan awam seperti Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persekutuan Bulan Sabit Merah, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dan Program Khidmat Bakti Negara.

Pasukan yang membawa Panji-Panji Kebawah DYMM, Panji-Panji Pasukan ABDB dan Panji-Panji Diraja PDB mengambil tempat dengan berjalan lalu di depan pentas diraja dalam gerak perlahan dan cepat di bawah pimpinan Pemerintah Perbarisan, 409 Leftenan Kolonel Mohd. Zulkarnain bin Haji Abd. Wahab. Laungan tiga kali ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ disembahkan oleh kesemua pasukan yang mengambil bahagian merupakan acara kemuncak istiadat disusuli dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB yang mengeluarkan kepulan asap berwarna-warni. 

Istiadat ini turut dihadiri oleh tetamu khas dari negara jiran seperti Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib bin Mahmud dan dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Raghad Kurdi Taib; Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Dato Seri Paduka Datuk  Seri Panglima Haji Musa bin Haji Aman dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Hajah Faridah binti Haji Tussin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lim Swee Say dan Menteri Sekretaris Negara Republik Indonesia, Leftenan Jenderal TNI (Purn) Sudi Silalahi serta Ibu Sri Rahayu Mulyani.

Selepas Istiadat Barisan Kehormat diadakan pula Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormat. Istiadat berlangsung di Balai Singahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman dimulai dengan titah Tuanku Sultan Brunei diikut dengan pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam kepada 24 orang penerima.Istiadat ini dihadiri oleh kerabat-kerabat diraja Brunei, tetamu-tetamu khas Tuanku Sultan Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Pengiran-Pengiran Peranakan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Menteri-Menteri Pendalaman, para perwakilan negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Dalam istiadat ini doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.



Akhir sekali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohammad Alam telah berkenan mencemar duli menerima mengadap secara berasingan tetamu-tetamu khas  luar negara yang dijemput sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Brunei pada tahun ini.

Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Majlis Persantapan bersempena memperingati Hari Puja Usia Ke-67 Tahun  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Seramai 3,000 tetamu menghadiri Majlis Persantapan yang diadakan di Istana Nurul Iman.




 Sumber :- Pelitabrunei/Jabatan Penerangan Brunei

1 comment:

Nurfaezah Abdullah said...

perayaannye x meriah tahun ne..