Tuesday, November 5, 2013

Sultan Brunei Berangkat Ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1435 Hijrah Peringkat Negara

05 November 2013, Selasa :-

Malam semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja telah berkenan menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1435 peringkat Negara yang diadakan di Jame'Asr Hassanil Bolkiah di Kampong Kiarong. Dalam majlis ini juga diadakan pengurniaan Anugerah Tokoh Ugama/Jasawan Ugama dan Anugerah Bakti Hijrah bagi tahun 1434 Hijrah. 

Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Brunei dan kerabat diraja disambut oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Hj Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman. Majlis dimulai dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1434 yang dipimpin oleh Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya Hj Ibrahim.  Kemudiannya diadakan Solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Hj Awang Suhaili Hj Mohiddin dan diikuti dengan bacaan Doa Awal Tahun 1435H. Selepas itu diadakan pula Solat Sunat Hajat berjemaah diimamkan oleh Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Hj Awang Suhaili. Solat Sunah Hajat ini adalah bagi memohon supaya Negara Brunei Darussalam terhindar dari bala bencana serta negara beroleh kemakmuran dan kesejahteraan.


Majlis penganugerahan pula dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Tema sambutan pada tahun ini adalah "Menghayati Wawasan Hijrah". Anugerah Tokoh Ugama/Jasawan Ugama dianugerahkan kepada Timbalan Mufti Kerajaan Brunei, Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili Hj Awang Mohiddin manakala Anugerah Bakti Hijrah diberikan kepada Pengiran Haji Merali Pengiran Haji Ismail berusia 67 tahun dan Awang Haji Mohd. Salleh Haji Timbang berusia 82 tahun.


Setelah Majlis Penganugerahan selesai, para jemaah bersama-sama Sultan Brunei  dan kerabat diraja menunaikan Solat Insyak berjemaah yang diimamkan oleh Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Hj Awang Salim Hj Awang Besar. Solat berjemaah dan doa kesyukuran bagi menyambut tahun baru Hijrah 1435 turut diadakan di masjid-masjid dan surau-surau serta balai-balai ibadat seluruh negara Brunei Darussalam.  


Sumber :- Pelitabrunei

No comments: