Sunday, November 30, 2014

Tuanku Sharafuddin Minta Kerajaan Pusat Beri Peruntukan Cukup Selenggara Peralatan Tentera

30 November 2014, Ahad :-

Malam tadi Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenaan berangkat ke majlis Santapan Diraja Kapten Yang Dipertua TLDM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang. Tuanku Sultan Selangor juga merupakan Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam titahnya, Baginda mahu kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang secukupnya bagi penyeliaan dan penyelenggaraan peralatan ketenteraan. Titah Baginda,  bagi menghadapi musuh-musuh yang mengancam negara, peralatan dan persenjataan sedia ada mestilah diselia dengan baik dan sempurna supaya dapat digunakan pada bila-bila masa. Tuanku juga meminta semua peringkat pasukan keselamatan negara supaya berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas serta mengutamakan kualiti kerja yang cemerlang.

Baginda juga memuji kerajaan Malaysia diatas penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCom  dan berharap agar kawasan litupannya diperluaskan dari semasa ke semasa. Rakyat adalah disarankan agar memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan bagi memastikan matlamat untuk mengekalkan keamanan di negara ini tercapai sepenuhnya.

Diantara titah baginda :-
  • "Adalah amat mengecewakan jika memiliki aset yang maju dan canggih tetapi tidak boleh digunakan dan disimpan di dalam stor atau gudang kerana tidak mempunyai alat ganti disebabkan kekurangan kewangan." 
  • "Gejala rasuah, salah guna kuasa dan mengutamakan kepentingan peribadi hendaklah dielakkan."

Turut serta dalam majlis ini adalah Menteri Besar Selangor, YAB Mohamed Azmin Ali, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Roslan Saad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan lebih kurang 800 pegawai TLDM, TUDM dan PDRM.

Sumber :- Bernama / Syukury

No comments: