Monday, March 31, 2014

Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Diistihar Sebagai Tokoh Adat Istiadat Sepanjang Zaman 2014


31 Mac 2014, Isnin  :-


Hari ini telah diistiharkan sebagai Hari Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam. Sehubungan dengan itu telah diadakan Majlis Istiadat Pemasyhuran Tokoh Adat Istiadat Sepanjang Zaman sempena Hari Adat Istiadat 2014. Majlis disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Tokoh Adat Istiadat Sepanjang Zaman 2014 telah dianugerakan buat pertama kalinya kepada Ayahanda Sultan Brunei, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam.

Majlis yang diadakan di International Convention Center, Berakas turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat Diraja Brunei Darussalam.


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Saturday, March 29, 2014

Raja Nor Izma Bte Raja Hj. Shahar Shah Mangkat


Allahyarhamah Raja Nor Izma Bte Raja Hj. Shahar Shah - Gambar Allahyarhamah ini diambil pada Februari 2014



29 Mac 2013, Sabtu :-

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un ........ Seorang kerabat diraja Perak,  Raja Nor Izma Bte Raja Hj. Shahar Shah telah kembali ke Rahmatullah pada 28 Mac 2014.  Allahyarhamah Raja Nor Izma mangkat akibat kemalangan jalanraya.  Allahyarhamah yang berusia lingkungan 81 tahun kebiasaannya memandu sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan dan kemalangan berlaku sewaktu Allahyarhamah dalam perjalanan pulang kekediamannya dari temujanji disebuah hospital. Jenazah Allahyahamah disempurnakan pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara.

Allahyarhamah Raja Nor Izma yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Nandak atau Che Wan Nor merupakan anakanda kepada YM Raja Haji Shahar Shah bin Raja Haji Harun Al Rashid ibni Almarhum Sultan Idris I, Mantan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (April 1949 - Disember 1949). Allahyarhamah Raja Nor Izma juga merupakan kekanda kepada Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani bt. Raja Shahar Shah, isteri kepada  Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan. Allahyarhamah Raja Nor Izma juga merupakan bonda saudara kepada Shah Reza atau Dato' Raja Rezza Shah.

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Raja Nor Izma semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah ..........


Semuga Rohnya Allahyarhamah Raja Nor Izma Bte Raja Hj. Shahar Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.........


Sumber :- TS/Sembang Kuala/KKS

Tuesday, March 25, 2014

MH 370 - Sultan Johor dan Pemangku Raja Perak Titahkan Kibar Bendera Separuh Tiang


25 Mac 2014, Selasa :-

Pada hari ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Negeri Johor telah menitahkan supaya semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di negeri Johor supaya mengibarkan bendera separuh tiang selama satu hari bagi menghormati tragedi kehilangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia MH370 Kuala Lumpur - Beijing. Manakala Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah  pula menitahkan agar Negeri Perak mengibarkan bendera separuh tiang mulai esok 26 Mac 2014 sebagai tanda simpati dan dukacita terhadap insiden yang melibatkan MH370.

Sumber :- Berita TV3 / Pic by Azlan Zamhari/Malaysiakini.com

Monday, March 24, 2014

Istiadat Permakaman Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Disempurnakan


24 Mac 2014, Isnin :-


Istiadat permakaman Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor, Allahyarham Tengku Dato' Azman Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj telah disempurnakan hari ini mengikut adat istiadat Diraja Negeri Selangor Darul Ehsan. Allahyarham yang berusia dalam lingkungan 83 tahun mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada jam 14:31hrs, 23 Mac 2014. Solat Jenazal diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah lebih kurang jam 10:30hrs sebelum jenazah dibawa ke Makam Diraja.  Turut berangkat ke Istiadat permakaman adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Al-Fatihah ....... Semuga rohnya Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor, Allahyarham Tengku Dato' Azman Shah Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.

Sumber : TS / Bernama

Tengku Bendahara Selangor Mangkat


24 Mac 2014, Isnin :-

Ayahanda saudara kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Tengku Dato' Azman Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj telah mangkat petang semalam 23 Mac 2014. Jenazah Allahyarham buat masa ini diletakkan di Istana Alam Shah, Klang, Selangor dan akan dimakamkan pada pagi ini lebih kurang jam 10:30hrs di Makam Diraja Selangor, Klang. Allahyarham Tengku Bendahara Selangor berusia dalam lingkungan 83 tahun.  Allahyarham Tengku Bendahara Selangor  berkahwin dengan puteri Sultan Kelantan, Tengku Thuraya binti Sultan Ibrahim IV pada 27 Disember 1950. Allahyarham Tengku Bendahara Selangor di dilantik sebagai Tengku Bendahara Selangor pada 13 Mei 1959 dan pernah menjadi Pemangku Raja Selangor serta merupakan salah seorang Ahli Dewan Diraja Selangor.


Al-Fatihah ..............



Semuga rohnya Allahyarham YAM Tengku Bendahara Selangor Tengku Dato' Azman Shah Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj  ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.  Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham YAM Tengku Bendahara Selangor diatas kemangkatan ini.

Sumber : TS / Istana Alam Shah / Wangsa Selangor

Thursday, March 20, 2014

Sarimah Maklumkan Beliau Berkawan Rapat Dengan Tunku Nadrzimuddin


20 Mac 2013, Khamis :-

Pelakon dan penyampai radio terkenal Sarimah Ibrahim mengumumkan semalam bahawa beliau sekarang sedang berkawan rapat dengan Yang Mulia Tunku Nadzimuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Jamie. Sarimah yang pernah berkahwin dengan Andrew Browning Abdulah pada 2006 di Dublin, Ireland dan kemudiannya bercerai pada 2009 mengakui bahawa berkahwin dengan lelaki asing yang berbeza budaya bukannya perkara mudah terutamanya untuk menyesuaikan diri. Beliau melahirkan kesyukuran kerana telah dipertemukan dengan seseorang yang komited dalam perhubungan seperti Jamie.  Beliau memperkenalkan Jamie semasa sesi sidang akhbar program rancangan khas Desperately Seeking Sarimah bersama Mix FM.

Yang Mulia Tunku Nadzimuddin merupakan putera sulung kepada Yang Amat Mulia Tunku Dara Tunku Tan Sri Dato' Seri Naquiah binti Almarhum Tuanku Ja'afar Al-Haj. Almarhum Tuanku Ja'afar merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus ke-10 dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10. Ayahanda Jamie adalah Yang Mulia Tunku Kecil Besar Tunku Datuk Mudzaffar bin Tunku Mustapha.

Syah mendoakan agar hubungan mereka akan berakhir hingga ke jingang pelamin dan dipanjangkan jodoh hingga akhir hayat.  Amien.

Sumber :- Kosmo / MBS

Wednesday, March 19, 2014

Sultan Brunei Hadiri Program Khidmat Bakti Negara

19 Mac 2014, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Program Khidmat Bakti Negara yang diadakan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Perkampungan Sukan, Komplek Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Tuesday, March 18, 2014

Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan

18 Mac 2013, Selasa :-

Pada 18 Mac 1960, Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan  buat pertama kalinya telah  diadakan di Kuala Lumpur selama empat  hari yang  disertai oleh  sebelas buah  negeri  dalam Persekutuan  Tanah  Melayu.  Pertandingan ini merupakan inisiatif Perdana  Menteri, Yang Teramat Mulia Tunku  Abdul  Rahman  untuk meningkatkan syiar Islam dan pembangunan rohani  umat  Islam.  Pertandingan  diadakan  pada  bulan Ramadhan  dan  dijadikan acara tahunan.  Pada  mulanya pertandingan  membaca  al-Quran menjadi  amalan  tradisi  di beberapa  negeri  di Persekutuan  Tanah  Melayu. Pada  05 September  1947,  PEKEMBAR telah   menganjurkan   pertandingan   ini   di peringkat negeri  Johor,  manakala  Yang Teramat Mulia Tunku Abdul  Rahman  pernah  mengadakan pertandingan  tersebut  di negeri  Kedah  pada tahun  1951  dan  kemudiannya menganjurkannya  di antara negeri Kedah  dan  Johor  pada  tahun  1959.   Nama pertandingan  ini  telah  ditukarkan  kepada Musabaqah  Membaca  al-Quran  sebelum ditukar kepada Majlis  Tilawah  al-Quran. Semenjak tahun 1981, Ia telah diadakan di luar bandar Kuala Lumpur dan di luar daripada bulan Ramadhan.  

Sumber : Arkib Negara 

Raja Nazrin Ziarah Keluarga Allahyarham Koperal Raja Aizam

18 Mac 2014, Selasa :-


Hari ini Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim telah berkenan  berangkat menziarahi keluarga Allahyarham Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd di Berek Polis Sri Andalas, Klang, Selangor.  Tuanku Zara telah berkenan memberikan sumbangan kepada balu Allahyarham, Norsalmah Nordin. 

Allahyarham Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah meninggal dunia pada awal pagi 04 Mac 2014 sewaktu Allahyarham dan rakannya melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa, Klang, Selangor. Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampong Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak pada sebelah malamnya.

Sila Click Entry Syah berhubung kematian Allahyarham Koperal Raja Aizam Koperal Raja Aizam Raja Mohd Meninggal Dunia

Sumber :- Bernama / MBS

Monday, March 17, 2014

Sultan Pahang Ziarah Keluarga Penumpang Pesawat MH370

17 Mac 2013, Isnin :-

Hari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom telah berkenaan menziarahi ahli keluarga penumpang penerbangan MH370 di Hotel Everly, Putrajaya. Keberangkatan tiba Tuanku dan rombongan ke Hotel Everly lebih kurang jam 11:50hrs disambut oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri AsehChe Mat.

Kelihatan Tuanku Ahmad Shah bersalaman dengan Selamat Omar, 60 yang merupakan bapa kepada Mohd Khairul Amri Selamat salah seorang penumpang pesawat MH 370. Tuanku Ahmad Shah memaklumkan kepada keluarga penumpang MH370 bahawa usaha-usaha mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan dan berharap agar kaum keluarga terlibat bersabar.

Hari ini merupakan hari ke-10 pesawat penerbangan MAS - MH370 Kuala Lumpur - Beijing didapati hilang pada pagi Sabtu 08 Mac 2014 dan usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 buat masa ini tertumpu pada koridor Utara dan Selatan. Koridor Utara melitupi kawasan utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. Syah mendoakan agar semua penumpang dan anak kapal MH370 selamat dan mudahan-mudahan usaha mencari dan menyelamat MH370 dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. Amien.

Sumber : BH Online

Tuesday, March 11, 2014

Majlis Raja-Raja Malaysia Zahir Rasa Dukacita Kehilangan MH370


11 Mac 2013, Selasa :- 

Majlis Raja-Raja Malaysia hari ini telah menzahirkan rasa dukacita dengan insiden kehilangan pesawat MAS MH370 yang hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 08 Mac 2014 jam 00:41hrs (12:41pagi) dengan membawa 239 penumpang termasuk krew. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato' Seri Syed Danial Syed Ahmad. Dato' Seri Syed Danial memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja Malaysia sentiasa mengikuti perkembangan perkara ini dan menghargai segala usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak dalam misi mencari dan menyelamat MH370. 
  • "Kerjasama dan bantuan dari pelbagai negara bagi membantu operasi mengesan pesawat yang hilang, amatlah dihargai".
Majlis Raja-Raja Malaysia juga menyarankan supaya rakyat dari pelbagai agama, kaum dan kumpulan politik menunjukkan semangat bersatu ketika negara menghadapi dan menangani tragedi ini.
  • "Semoga mendapat rahmat dan petunjuk dari Allah S.W.T. serta segala usaha menemui hasil terbaik, di samping mendoakan semoga kaum keluarga dan sahabat handai waris terlibat diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan bagi menghadapinya".

Sehingga entry ini dibuat, pasukan mencari dan menyelamat MH370 masih lagi belum menemui sebarang petunjuk mengenai lokasi kapal terbang berkenaan.  Marilah kita bersama-sama mendoakan agar pasukan mencari dan menyelamat MH370 menjumpai kapal terbang berkenaan secepat mungkin. Semuga semua para penumpang dan krew MH370 selamat dijumpai dan dilindungi Allah hendaknya. Amien.

Sumber :- Bernama

Sultan Brunei Menerima Mengadap Menteri Warisan dan Kebudayaan Kesultanan Oman


11 Mac 2014, Selasa :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bekenan menerima mengadap Yang Mulia Al-Sayyid Haitham bin Tareq bin Taimour Al-Said, Menteri Warisan dan Kebudayaan Kesultanan Oman. Majlis mengadap diadakan di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Monday, March 10, 2014

Yang di-Pertuan Agong Dan Raja Permaisuri Menzahirkan Rasa Perihatin Terhadap Insiden Kehilangan Pesawat MH370


10 Mac 2013, Isnin :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun menzahirkan rasa perihatin Baginda berdua terhadap insiden kehilangan Pesawat MAS MH370 Kuala Lumpur-Beijing pada pagi Sabtu 08 Mac 2014 jam 02:40hrs. Seri Paduka Baginda berdua juga melahirkan rasa simpati kepada anak kapal, para penumpang dan ahli keluarga mereka yang terlibat.  Baginda juga menyaraknkan agar diadakan Solat Hajat.

Pada 08 Mac 2014, Kapalterbang MH370 berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing pada jam 00:41hrs (12:41 pagi) dengan membawa 239 penumpang termasuk krew (anak kapal) yang terdiri daripada :-
  1. 12 orang anak kapal
  2. 38 warga Malaysia
  3. 143 warga China/Taiwan
  4. 2 warga Kanada
  5. 7 warga Australia
  6. 5 warga India
  7. 7 warga Indonsia
  8. 4 warga Perancis
  9. 1 warga Rusia
  10. 3 Warga Amerika
  11. 1 warga Itali
  12. 1 warga Austria
  13. 1 warga Belanda
  14. 2 warga New Zeland
MH370 dijadualkan mendarat di Beijing pada jam 06:30hrs. Pada jam 02:40hrs MH370 telah terputus hubungan dengan menara kawalan udara di Subang ketika berada diruang udara Vietnam. Pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Filipina, Australia, China, Indonesia dan Vietnam telah menghulurkan bantuan dengan menggunakan Aset negara masing-masing dalam misi mencari dan menyelamat MH370. Sehingga hari ini MH370 masih lagi belum ditemui. Sample tompokan minyak yang dijumpai di perairan Malaysia kira-kira jarak 20 batu nautika daripada lokasi pesawat dilaporkan hilang masih lagi dalam kajian oleh Jabatan Kimia. Keputusan dijangka akan diketahui lewat petang ini untuk memastikan samada sample minyak sebanyak 1.5 liter itu adalah minyak dari pesawat berkenaan.  

Marilah kita bersama-sama Mendoakan keselamatan para Penumpang dan Anak Kapal MH370. Semuga mereka semua selamat ditemui semula.  Kepada anda semua, Syah minta agar jangan berkongsi sebarang maklumat yang tidak tepat berhubung isu ini terutamanya di media elektronik. Mungkin tiada kawan atau saudara mara kita yang terlibat dalam insiden ini tetapi cuba bayangkan diri kita sebagai salah seorang ahli keluarga mereka yang terlibat, apa perasaan kita bila membaca berita-berita yang tidak benar berhubung kes ini. Cuba letakkan diri kita dalam situasi mereka sebelum membuat sebarang kenyataan atau berkongsi maklumat berhubung kehilangan MH370.

Saturday, March 8, 2014

Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah Dimakamkan Pada 08 Mac 1947

Click gambar untuk Imej yang lebih Besar

08 Mac 2014, Sabtu :- 


Ini adalah makam Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah binti Al-Marhum Pengiran Omar Ali iaitu permaisuri kepada Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Sultan Brunei ke-26. Gambar ini Syah ambil sewaktu lawatan Syah ke Brunei pada November 2013. Al-Marhumah merupakan bonda kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-26 dan Almarhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-27. Sehubungan dengan itu Al-Marhumah juga merupakan nenda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Al-Marhumah mangkat pada 07 Mac 1947 di Istana Majalis. Pada keesokan harinya, 08 Mac 1947, jenazah Al-Marhumah dibawa ke Dermaga Kastam untuk dimakamkan di Kubah Makam Diraja dengan penuh adat istiadat diraja Brunei.  Al-Marhumah dimakamkan disebelah makam Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II. Makam dibelakang gambar Syah itu adalah makam Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II.

Al-Atihah
Semuga Rohnya Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah binti Al-Marhum Pengiran Omar Ali ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.

Sumber :- MBS, Zulfa Hanan& The Royal Ark

Ulangtahun Ke-11 Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor Ke- IX


Duli Yang  Maha Mulia Sultan Selangor ke-IX
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

08 Mac 2014, Sabtu :-

Sembah ucap tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan sempena ulangtahun ke-11 Pertabalan dan Kemahkotaan baginda sebagai Sultan Selangor ke-IX pada 08 Mac 2003.  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyatakan bahawa Sultan yang baru hendaklah ditabalkan menjadi Sultan dalam tempoh empat tahun dari tarikh pengesahan dan proklamasi Baginda sebagai Sultan atau dengan persetujuan Dewan di-Raja dalam tempoh sedemekian dan tarikh Baginda mencapai umur genap 21 tahun. Sekiranya telah tamat tempoh yang dinyatakan dan Sultan belum ditabalkan maka Baginda disifatkan sebagai turun tahta dan melepaskan segala hak-hak Baginda sebagai Sultan. Secara ringkasnya Syah ingin berkongsi dengan anda semua mengenai Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan baginda.


Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj yang ketika itu merupakan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-11 pada 21 November 2001 di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur akibat masalah jantung, Dewan di-Raja Selangor telah bersidang pada malam 21 November 2001 jam 20:30hrs untuk menentukan perlantikan Sultan Selangor yang baru. Mesyuarat dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Selangor telah mengesahkan perlantikan DYTM Tengku Idris Shah yang ketika itu merupakan Raja Muda Selangor sebagai Sultan Selangor yang baru dan baginda telah berkenaan menerima perlantikan tersebut  dengan menandatangani watikah perlantikan.

Istiadat Pemasyhuran :- 

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Idris Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor pada 22 November 2001 pada jam 15:00hrs dengan penuh adat istiadat diraja negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Dalam istiadat ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor atas persetujuan Dewan di-Raja dengan rasminya memasyhurkan baginda sebagai Sultan Selangor ke-XI dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.  Dalam istiadat ini, DYMM Tuanku Sharafuddin telah mengucup keris pusaka turun temurun Kesultanan Selangor yang dikenali sebagai Keris Panjang Beruk Berayun sebagai lambang Raja Berdaulat dan kemudiannya diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh para hadirin.  DYMM Tuanku kemudiannya menyentuh keranda Almarhum Paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai simbolik tanda perkenan dan restu agar Istiadat Permakaman boleh disempurnakan di Makam Diraja.

Istiadat Letak Kerja :

Istiadat Letak Kerja sempena Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor ke-IX bermula pada hari Khamis 06 Mac 2003 bersamaan 03 Muharam 1424 bermula jam 08:30hrs di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang. Mengikut adat istiadat diraja, sebelum sesuatu istiadat penting dilaksanakan Istiadat Letak Kerja perlu dizahirkan sebagai tanda permuafakatan diantara semua pihak yang terlibat terutamanya diantara pihak Istana dan Kerajaan Negeri.



Istidat Bersiram Tabal :

Istiadat Bersiram Tabal diadakan pada hari Jumaat, 07 Mac 2003 bersamaan 04 Muharam 1424 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.  Istiadat bermula seawal jam 15:30hrs.

Istiadat Ini merupakan istiadat penting dalam proses Adat Istiadat Pertabalan dan Kemahkotan Sultan Selangor. Bersiram membawa maksud mandi. Ianya merupakan simbolik konsep kesucian dan kebersihan sebagaimana yang dituntut dalam Islam. DYMM Tuanku akan bersemayam diatas pentas khas setinggi tujuh tingkat yang dinamakan Panca Persada.  Air yang digunakan untuk Istiadat Bersiram Tabal ini terdiri daripada air yang diambil dari sumber mata air di sembilan buah daerah dalam negeri Selangor diletakkan didalam tiga buah tempayan dan dicampurkan dengan tujuh jenih bunga dan dinamakan Air Siram Taubat, Air Siram Syukur dan Air Siram Selamat. Ketiga-tiga air berkenaan telah dibacakan doa oleh Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa. Selain daripada itu, peralatan/bahan yang digunakan dalam istiadat ini adalah kemeyan wangi, setangi, keris dan lain-lain.

Nobat juga digunakan dalam istiadat ini.  Diantara lagu yang dimainkan adalah lagu "Bersiram Tabal" dan "Raja Berangkat". Mereka yang terlibat dalam istiadat ini adalah YAM Tengku Panglima Diraja Selangor, YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Diraja Selangor, Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor,  Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa, Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Bentara. Bersiram Tabal dilakukan oleh tiga orang iaitu Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa dan seorang Bentra diatas Panca Persada.



Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan :

Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke-IX berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor pada hari Sabtu, 08  Mac 2003 bersamaan 05 Muharam 1424. Ketibaan dif-dif dan para jemputan bermula seawal jam 09:00hrs.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin memeriksa barisan Kawalan Kehormtan Utama di perkarangan Istana Alam Shah sebelum berangkat masuk ke Balairung Seri untuk Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan.



Keberangkatan masuk DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah selepas melakukan Pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormtan Utama.

Lafaz Perisytiharan Pertabal dibacakan oleh YAM Tengku Panglima Diraja Selangor selaku Ketua Adat Istiadat Diraja. Lafaznya seperti berikut :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Ampun Tuanku, Sebagaimana yang telah diperuntukkan dibawah Fasal 1 Perkara 9 (A) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, 1959 berbunyi :-

Sultan hendaklah ditabalkan mengikut adat istiadat Negeri dalam masa empat tahun dari tarikh pengesahan dan proklamasi Baginda sebagai Sultan atau, dengan persetujuan Dewan di-Raja, dalam tempoh sedemekian dan tarikh Baginda mencapai umur genap 21 tahun. 

Oleh yang demekian, sebagai menyempurnakan peruntukan tersebut maka Istiadat Pertabalan dizahirkan pada pagi yang bersejarah ini.



Alat-Alat kebesaran Diraja kemudiannya dibawa masuk ke Balairung Seri seperti Al-Quranul-Karim, Keris Terampang Gabus, Mahkota Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Lafaz ikrar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikuti paluan Nobat dengan lagu "Istiadat Mengadap". Yang Amat Mulia Tengku Tengku Indera Setia Selangor kemudiannya memulakan Istiadat Menunjung Duli diikuti paluan Nobat dengan lagu "Menjunjung Duli". Setelah Istiadat Menjunjung Duli selesai, Alat-Alat Kebesaran Diraja diletakkan diatas meja khas.



Yang Dimuliakan Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja, Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor kemudiannya mempersilakan YAM Tengku Panglima Besar Selangor menyembahkan Al-Quranul-Karim kepada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin. YAM Tengku Besar Putera Selangor kemudiannya menambil tempat untuk menyembahkan Keris Terampang Gabus. Sebelum itu Engku Seri Perdana mengadap mengambil Keris Gading Diraja daripada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin untuk diletakkan diatas meja khas.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin mengucup Al-Quranul-Karim  setela menerimanya daripada YAM Tengku Panglima Besar Selangor.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin mengucup Keris Terampang Gabus setelah menerimanya daripada YAM Tengku Besar Putera Selangor.

YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja mempersilakan YAM Tengku Bendahara Selangor dan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor untuk menyempurnakan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan. Kedua-duanya mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diikuti YDM Tengku Seri Paduka Shahbandar. YDM Tengku Seri Paduka Shahbandar kemudiannya mengambil tengkolok DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin dan meletakkannya diatas meja khas. YAM Tengku Bendahara Selangor dan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor kemudiannya mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin.



Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor kemudianya mengambil mahkota pertabalan daripada YAM Tengku Bendahara Selangor untuk memahkotakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikut paluan Nobat dengan lagu "Nobat Tabal". YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja selaku Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor kemudannya berseru "Daulat Tuanku" diikuti tiupan Nafiri dan disambut oleh para hadirin dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali. Lagu kebangsaan Negeri Selangor dimainkan diikuti tembakan Meriam sebanyak 21 das.

YAM Tengku Panglima Selangor kemudiannya melafazkaan Bingkisan Doa Restu :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

"Patik sekelian waris dan kerabat memutuskan untuk menzahirkan Duli Yang Maha Mulialah di atas Tahta Kerajaan Selangor ini dan daerahnya.  Tuankulah yang berdaulat.

YDH Dato' Seri Maharaja Diraja kemudiannya mengambil tempat untuk melafaz dan mengingatkan pesanan Pepatah Orang-Orang Tua :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Bermula bahawa bapa kepada Raja itu
adalah Syariat Allah dan RasylNya Sallallahu Alaihi Wasallam
dan Ibu Raja itu
adalah adat dan kanun.
Manakala Saudara bagi Raja pula
aalah sekalian Menteri Besar dan menteri-menteri kecilnya.

Adapun yang dikatakan anak bagi Raja itu pula,
adalah sekelian rakyat jelata dan bala tenteranya.
Seorang Raja itu tiada baginya bapa, ibu atau anak
melainkan baginya sekelian rakyat jelata.

Seorang Raja itu tidak mengutamakan kepentingan yang lain, 
melainkan kepentingan rakyatnya juga.

Maka ketahuailah,
bahawa sekiranya seseorang Raja itu tidak mentaati Syariat Allah  dan RasulNya
Memegang adat dan kanun,
tidak sempurnalah 
Pemerintahan dan kerajaannya.

Ampun Tuanku.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin kemudiannya melafazkan Lafaz Ikrar :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

"Beta dengan sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Negeri Selangor Darul Ehsan dan segala daerah takluknya dengan mengikut sebagaimana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan undang-undang yang telah dan akan disah dan dimasyhurkan dari masa ke semasa.

Dan seterusnya Beta dengan sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan memelihara keamanan di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan dan segala daerah takluknya.

Dan lagi Beta sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan menunaikan kewajipan-kewajipan Beta, sebagai Sultan Selangor, dengan penuh iltizam, jujur dan dengan segala daya upaya Beta demi kesejahteraan rakyat jelata yang kita kasihi.

Kepada Allah Beta Berserah.



Setelah selesai bacaan Ikrar, YAB Menteri Besar Selangor mengambil tempat untuk menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan bagi pihak seluruh rakyat. Setelah selesai ucapan YAB Menteri Besar Selangor,  Istiadat Merenjis Air Mawar dimulakan dengan didahului oleh YAM Tengku Aris Temenggong , YAM Tengku Bendahara Selangor dan YMM Tengku Ampuan Bariah. Setelah selesai Istiadat Merenjis, Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor diapit oleh Sahibus Fadhilah Mualim Indera Wangsa dan Al-Fadhil Imam Paduka Tuan mengambil tempat untuk membaca doa menandakan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor ke-IX telah disempunakan.

Setelah bacaan doa selesai, YAM Tengku Panglima Besar Selangor mengadap untuk mengambil Al-Quranul-Karim daripada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diikuti YDM Engku Seri Perdana mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin untuk mengambil Keris Panjang Beruk Berayun. DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin kemudiannya berangkat keluar dari Balairung Seri diiringi paluan Naubat "Raja Berangkat".  

Keberangkatan pulang DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin didahului oleh :-
  1. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor  
  2. Pembawa Sembuana
  3. Yang Dimuliakan Engku Seri Perdana membawa Keris Panjang Beruk Berayun
  4. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor membawa  Al-Quranul-Karim
  5. Panglima Perang Kanan Aman Diraja dan Panglima Perang Kiri Sedia Diraja 
DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diringi oleh:-

  1. Yang Mulia Anak Raja Berempat
  2. Juruiring Polis dan Tentera
  3. Yang Dimuliakan Tengku Seri Paduka Shahbandar yang membawa tegkolok DYMM Sultan Slangor dan Yang Dimuliakan Engku Maharaja Lela Setia Paduka membawa Keris Gading Diraja
  4. Yang Dimuliakan Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja , Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor dan Yang Dimuliakan Tengku Setia. 


Sumber :- Pertabalan dan Kemahkotaan : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-IX

Friday, March 7, 2014

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke-28 Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang


07 Mac 2014, Jumaat :- 


Semalam 06 Mac 2014 genaplah sudah 28 tahun perkahwinan diantara Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar. Pasangan diraja ini diijab kabulkan di Istana Bukit Serene, Johor Baharu, Johor pada 06 Mac 1986. Hasil daripada  perkahwinan ini Kebawah Duli Yang Teramat Mulia dikurniakan dengan enam orang cahaya mata, empat putera dan dua puteri.  Walau bagaimanapun Putera Sulong Kebawah Duli Yang Teramat Mulia telah mangkat ketika diputerakan pada 24 Julai 1990 dan diberi nama Tengku Ahmad Iskandar Shah.

Syah doakan agar Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang dipanjangkan jodoh hingga ke akhir hayat.  Syah juga mendoakan agar Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang yang kini berehat di London selepas menjalani pembedahan Tairod di Geneva, Switzerland pada Januari lepas agar cepat sembuh.

Thursday, March 6, 2014

Sultan Brunei Hadiri Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara

06 Mac 2014, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesepuluh Majlis Mesyuarat Negara. Majlis berlangsung di Dewan Majlis-Majlis Mesyuarat, Bandar Seri Begawan. 

Turut serta berangkat dalam majlis ini adalah  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Wednesday, March 5, 2014

Raja Nazrin Hadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Penajaan Sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah

05 Mac 2013, Rabu :-

Hari ini  Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan menghadiri majlis penyampaian sumbangan penajaan sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah. Majlis diadakan di Kuala Lumpur.  Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah akan berlangsung selama 10 hari mulai 13 hingga 23 Mac 2014 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak. Dalam majlis ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Datuk Abd Rahim Md Arif menyerahkan cenderamata berupa potrait Sultan Azlan Shah yang juga merupakan Presiden Hoki Asia kepada Tuanku Dr. Raja Nazrin.

Sumber :- Bernama

Koperal Raja Aizam Raja Mohd Meninggal Dunia

Allahyarham Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd

05 Mac 2014, Rabu :-

Al-Fatihah .......... 

Seorang anggota Polis Diraja Malaysia, Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah meninggal dunia semalam sewaktu menjalankan tugas bersama salah seorang rakannya Koperal Mohd. Aidil Mustafa.  Kejadian berlaku pada pagi 04 Mac 2014, jam 04:30hrs  ketika Allahyarham dan rakannya melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa, Klang, Selangor. Allahyarham Raja Aizam dan Koperal Mohd. Aidil terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D. Hasil daripada pemeriksaan didapati mereka tidak mempunyai dokumen yang sah dan ditahan untuk siasatan. Lokasi kejadian merupakan kawasan penempatan yang dihuni kebanyakannya oleh warga asing.

Ketika hendak menahan kesemua suspek, dua suspek lelaki yang bersenjatakan pisau rambo dan parang menyerang Allahyarham Raja Aizam dan Koperal Mohd. Aidil dari arah belakang. Serangan itu mengenai belakang kepala, tangan dan muka kedua-dua anggota anggota Polis tetapi lebih malang lagi perut Allahyarham Raja Aizam telah dilibas dengan pisau rambo menyebabkan Allahyarham rebah.  Salah seorang suspek telah merampas pistol Alahyarham Raja Aizam yang telah rebah dan tersungkur kedalam longkang dan cuba mengacukan pistol berkenaan kepada Koperal Mohd. Aidil.  

Disebabkan suspek berkenaan tidak tahu menggunakan pistol, Koperal Mohd. Aidil telah mengambil kesempatan itu untuk merampas pistol berkenaan dan melepaskan tembakan menyebabkan kedua-dua suspek mati ditempat kejadian.  Koperal Mohd. Aidil kemudiannya mengacukan pistol berkenaan kearah empat suspek yang lain sehingga bantuan tiba. Allahyarham Raja Aizam yang berusia 54 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala Koperal Mohd. Aidil yang berusia 29 tahun dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR kerana cedera parah. Keadaan Koperal Mohd. Aidil dilaporkan beransur pulih.

Allahyarham Raja Aizam meninggalkan seorang isteri, Norsalmah Nordin (50an) dan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang prempuan yang berusia diantara 17 hingga 25 tahun. Allahyarham Raja Aizam telah bertugas dengan pasukan Polis Diraja Malaysia selama 30 tahun.  Jenazah Allahyarham Raja Aizam telah disempurnakan di Tanah Perkuburan Kampong Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak malam tadi. Allahyarham Raja Aizam merupakan bapa saudara kepada pelakon Delima Ismail yang memegang watak sebagai Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Empat pendatang asing tanpa izin, satu lelaki dan tiga perempuan yang berusia diantara 24 hingga 43 tahun telah ditahan dalam satu operasi khas yang ditubuhkan oleh pihak polis sejurus insiden berkenaan berlaku. Tiga wanita berkenaan merupakan  suspek yang melarikan diri dari lokasi pembunuhan. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Al-Fatihah ............
Semuga Rohnya Allahyarham Raja Aizam bin Raja Mohd ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Raja Aizam semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini. 

Sumber :-  Kosmo/Berita Harian.

Sunday, March 2, 2014

Jambatan Kedua Pulau Pinang Dinamakan Sempena Nama Tuanku Abdul Halim


03 Mac 2014,  Ahad :-

Jambatan Kedua Pulau Pinang telah diberi nama Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena mengambil nama Yang di-Pertuan Agong XIV, Kebawah Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Jambatan yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung dibahagian Pulau ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 01 Mac 2013.

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dibina pada 2008 dengan kos RM4.5 billion. Panjang keseluruhan jambatan ini adalah 24 kilometer menjadikanya sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga di dunia dimana 17 kilometer berada diatas air manakala 7 kilometer diatas darat. Jambatan ini menyediakan laluan dua lorong berkelebaran 3.5 meter selorong, lorong kecemasan berkeluasan 2.4 meter dan lorong khas motosikal berkeluasan 3.0 meter.

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mampu menampung kegunaan 100,00 kenderaan sehari.  Jambatan ini merupakan mercu tanda baharu bagi Malaysia yang menjadi kebangaan rakyat. Pembinaan jambatan ini dijangka  akan memangkinkan pertumbuhan lebih rancak dikawasan setempat, mengurangkan kesesakan lalulintas dan membuka peluang pekerjaan.

Sebagai penghargaan kepada Rakyat, Perdana Menteri mengumumkan jambatan ini dibuka secara percuma selama sebulan. Kadar bayaran tol belum ditentukan lagi tetapi dianggarkan kurang dari RM10.00.  Plaza tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah merupakan plaza tol tebesar di Malaysia dengan menyediakan 26 kiosk pembayaran. 

Sumber :- Berita Harian / Bernama

Sultan Brunei Hadiri Regata Brunei Darussalam 2014

02 Mac 2013, Ahad :-


Temasya sukan air Regata Brunei Darussalam 2014 berjalan lancar hari ini di Dermaga Diraja, Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam. Acara bermula seawal jam 06:00hrs dan berakhir lewat petang sekitar jam 18:00hrs. Pada tahun ini sebanyak 1,360 bot lumba mengambil bahagian dalam acara tahunan ini termasuk 275 bot lumba antarabangsa. Seperti tahun-tahun sebelumnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah berkenan mencemar duli berangkat ke Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan  bagi menghadiri acara-acara kemuncak dan acara khas Regata Brunei Darussalam  pada sebelah petang.  KDYMM Tuanku Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah berkenan mencemar duli menyertai pertandingan Lumba Perahu Khas dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan Regata Brunei Darussalam 2014 .


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei / BruDirect.com

Saturday, March 1, 2014

Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib Mahmud Mengangkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-7


Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib bin Mahmud dan Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dalam Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

03 Mac 2014, Sabtu :- 


Tahniah diucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib Mahmud diatas perlantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-7 menggantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng , S.M.N., D.P., S.P.M.P., S.P.D.K., D.U.P.N., D.U.N.M., P.C.D. yang telah menamatkan perkhidmatannya semalam. Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dilantik buat pertama kalinya sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada 02 April 1977 hingga 01 April 1991. TYT kemudiannya dilantik semula untuk kali kedua pada 05 Disember 2000 untuk tempoh 4 tahun dan bermula tahun 2000, tempoh lantikan TYT disambung semula sehingga 2014 seperti berikut :-

  1. Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 05 April 1977 hingga 01 April 1981
  2. Dilantik semula pada 05 Disember 2000 selama tempoh 4 tahun;
  3. Dilantik semula pada 05 Disember 2004 selama tempoh 2 tahun;
  4. Dilantik semula pada 05 Disember 2006 selama tempoh 2 tahun;
  5. Dilantik semula pada 05 Disember 2008 selama tempoh 1 tahun;
  6. Dilantik semula pada 05 Disember 2009 selama tempoh 2 tahun;
  7. Dilantik semula pada 05 Disember 2011 selama tempoh 2 tahun; dan
  8. Dilantik semula pada 05 Disember 2013 sehingga 28 Februari 2014
Pagi tadi telah diadakan Istiadat Menandatangani Watikah Perlantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri, Kuching, Sarawak.  Istiadat bermula jam 11:00hrs dimana Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membacakan watikah perlantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Selepas menandatangani watikah perlantikan, TYT Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah jawatan dihadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum. 

TYT Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilahirkan pada 21 Mei 1936 dan merupakan anak sulong daripada 10 adik beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub. TYT sebelum ini merupakan Ketua Menteri Sarawak ke-4 dan dilantik ke jawatan berkenaan mulai 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub. Setelah hampir 33 tahun memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak akhirnya TYT meletakkan jawatan pada Februari lepas. TYT pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Undang-Undang di Universiti Adlaide. 

TYT menceburi bidang politik pada 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966. Selepas memenangi kerusi Parlimen Samarahan pada 1970, TYT dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, Pos dan Komunikasi (1970), Menteri Perusahaan Utama (1972), Menteri Pertahanan (1978), Pemangku Menteri Luar (1979) dan Menteri Wilayah Persekutuan (1980). TYT meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuaan pada 09 Mac 1981 kerana bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sebandi. TYT memenangi kerusi berkenaan tanpa bertanding dan dilantik pula sebagai Menteri Tanah dan Perlombongan negeri sehinggalah dilantik sebagai Ketua Negeri pada 26 Mac 1981.


TYT berkahwin sebanyak dua kali. Isteri pertama TYT, Allahyarhamah Puan Sri Laila Taib merupakan seorang wanita keturunan Poland telah meninggal dunia setelah hidup bersama selama 50 tahun pada 29 April 2009 akibat kanser.  Hasil perkahwinan ini, TYT dikurniakan dua putera dan dua puteri serta 15 orang cucu. Pada 18 Disember 2010, TYT berkahwin sekali lagi dalam usia 74 tahun dengan Puan Sri Ragard Kurdi Taib yang merupakan seorang wanita Lubnan berusia 28 tahun ketika itu. Perkahwinan kali kedua ini belum dikurniakan lagi sebarang cahayamata.


Al-Fatihah ........ Allahyarhamah Puan Sri Laila Taib

Sumber :- Bernama / Wikpedia / Pej Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu / PERKIM