Sunday, December 28, 2014

Tuanku Zara Lawat Mangsa Banjir Di Kampung Gajah

28 Disember 2014, Ahad :-

Semalam Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim telah berkenan menziarahi mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung Gajah. Kelihatan Tuanku Zara sedang beramah mesra dan bertanya khabar kepada mangsa-mangsa banjir di Dewan Millenium Kampung Gajah. Paras air di Sungai Perak dilaporkan naik mendadak sehingga 7.8 meter iaitu melebihi paras bahaya.


























Sumber :- Bernama / Fairol

Thursday, December 25, 2014

Sultan Perak Titah Adakan Solat Hajat Esok


25.12.2014, Khamis :-

Ekoran daripada bencana banjir luarbiasa yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah menitahkan :-
  • Diadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat esok untuk memohon agar Allah melindungi rakyat daripada musibah akibat banjir yang melanda. 
  • Sebarang acara konsert atau yang berunsur hiburan jika ada dirancang menjelang sambutan tahun baharu hendaklah dibatalkan termasuk acara yang melibatkan atau dianjurkan kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan negeri. 
  • Yayasan Sultan Azlan Shah akan mengurniakan dua pasang pakaian dan kasut sekolah kepada setiap pelajar yang menjadi mangsa banjir.

Kenyataan Baginda ini telah dikeluarkan oleh pejabat Sultan Perak pada hari ini.


Hari ini juga baginda dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan telah berkenan berangkat menghadiri taklimat mengenai situasi banjir di negeri Perak serta menziarahi pusat pemindahan banjir. Setakat pagi tadi seramai 4,335 orang daripada 1,079 keluarga telah dipindahkan ke 43 pusat pemindahan banjir di tiga daerah iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah. Daerah Kuala Kangsar yang meliputi kawasan Sungai Siput mencatat bilangan tertinggi mangsa banjir setakat ini iaitu 2,767 orang daripada 659 keluarga dan 23 pusat pemindahan masih dibuka.

Sumber :- Bernama

Raja Muda Perlis Ziarah Mangsa Banjir


25 Disember 2014, Khamis :-

Semalam Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di daerah Padang Besar, Perlis. Baginda dan rombongan menziarahi tiga pusat pemindahan dalam kawasa Padang Besar yang terletak di Dewan Maktab Rendah Sain Mara, Dewan Seri Malau dan Dewan Beseri Dalam.  

Dalam lawatan ini, Baginda juga telah berkenan berangkat ke Empangan Timah Tasoh dan mendengar taklimat mengenai paras air di empangan berkenaan daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir Abdul Najib Abdullah. Setakat pagi ini seramai 260 mangsa daripada 81 keluarga di Perlis  telah dipindahkan ke 5 buah pusat pemindahan banjir sekitar negeri Perlis.


Sumber :- Bernama

Saturday, December 13, 2014

Tunku Abdul Jalil Selamat Menjalani Pembedahan.

Tunku Jalil ketika berangkat ke China pada awal Disember lepas.

13 Disember 2014, Sabtu :-


Shukur Alhamdulillah Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim telah selamat menjalani pembedahan di Guangzhou, Cina semalam dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil. YAM Tunku Jalil kini sedang berehat dan akan berangkat pulang ke Johor dalam waktu terdekat.  Beliau akan mendapatkan rawatan susulan di Malaysia.

Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar  mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor tidak kira bangsa dan kepercayaan agama yang sentiasa mendoakan kesihatan anakanda Baginda itu. Baginda akan berangkat pulang ke Johor dalam sedikit masa lagi.

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim cepat sembuh dan  diberikan tahap kesihatan yang baik serta dipermudahkan segalanya untuk Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil. Amien.


Sumber :- Bernama/Radio Bernama

Monday, December 8, 2014

Tuanku Nazrin Dianugerahkan Darjah Kebesaran D.M.N


08 Disember 2014, Isnin :-

Menjunjung kasih ucap sembah tahniah kepada Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mewakili KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan Darjah Kebesaran berkenaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam satu majlis ringkas pada Sabtu lepas 06 Disember 2014 di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur. Turut serta dalam majlis ini adalah Raja Permaisuri Perak Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Menteri Besar Perak Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.




Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) merupakan darjah yang kedua antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia dan tidak mempunyai darjah kecil.

Bilangan ahli D.M.N. terhad kepada 30 orang. D.M.N ini dikurniakan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya. 15 daripadanya mungkin daripada Anak-anak Raja Negara Asing, Ketua-ketua Negara atau orang-orang yang amat ternama.

Darjah Utama Seri Mahkota Negara ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Kalung Darjah mengandungi motif tengah yang berbentuk dua bilah keris bersarung yang bersilang serta menjulang. Bintang dan Bulan Sabit Bintang Darjah ini diperbuat daripada emas dan berbentuk bintang pecah sembilan. Lencana Darjah ini diperbuat daripada bintang pecah lima. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera kuning dan di tengahnya terdapat jalur merah dan hujungnya berikat reben.


Di kedua-dua belah tepinya terdapat jalur kecil putih di antara dua jalur kecil berwarna biru. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.

Sumber :- Bernama / Wikipedia / Majlis Raja-Raja

Saturday, December 6, 2014

Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke-35 Dijadualkan Pada 06 Mei 2015


06 Disember 2014, Sabtu :-


Setiausaha Dewan Negara Perak Dato' Ayop Hashim dalam kenyataannya kepada Bernama semalam memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35 dijadualkan berlangsung pada 06 Mei 2015 mengikut adat istiadat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan. Istiadat ini akan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Tambah beliau lagi keputusan ini telah dibuat dengan nasihat Dewan Negara Perak yang bersidang pada 22 November 2014 serta atas perkenan Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


Istiadat Pertabalan setiap Sultan Perak mempunyai kesinambungan dengan tradisi pertabalan Sultan Perak  pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah yang diwarisi daripada adat resam pertabalan Sultan-Sultan Melaka pada kurun ke-15.  Istiadat Pertabalan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka.

Istiadat Tabal Adat akan berlangsung di Istana lskandariah pada pagi 06 Mei 2015 diikuti Istiadat Tabal Pusaka pada malam 07 Mei 2015.  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim mengikut istiadat akan berangkat menziarahi makam-makam Sultan Perak terdahulu dan Orang Besar Perak yang terletak ditebing Sungai Perak dengan menaiki kenderaan laut yang dikenali sebagai Balai Gambang bernama Chempaka Sari.
.
Istiadat pertabalan akan diakhiri dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke Beting Beras Basah untuk membasahkan kaki baginda di Beting berkenaan yang merupakan tempat Sultan Perak pertama, Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549) menjejakkan kaki baginda buat pertama kalinya di bumi Perak apabila bahtera baginda terkandas dibeting berkenaan semasa memasuki muara Sungai Perak.

Istiadat pertabalan ini akan dihadiri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Raja Pemerintah, Raja Muda dan Tengku Mahkota, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, perwakilan asing serta tetamu dari dalam dan luar negara.

Pelbagai acara berbentuk keagamaan dan acara yang akan melibatkan baginda Sultan dan pelbagai lapisan rakyat akan dijadualkan sepanjang tempoh sambutan Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35.

Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35 pada 29 May 2014 di Balairong Seri Istana Iskandariah berikutan kemangkatam Almarhum Paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah pada 28 May 2014 bersamaan 28 Rejab 1435H di Institut Jantung Negara dalam usia 86 tahun. Perlantikan dan Pengisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baru adalah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Fasal VI (I) dan (2). 

Dirgahayu Tuanku Patik.

Sumber :- Bernama / Biography Bergambar Sultan Azlan Shah / MBS