Friday, December 25, 2015

Sultan Brunei Sertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1437 Hijrah


25 Disember 2015, Jumaat :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1437 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan. Turut serta berangkat adalah tiga orang putera baginda iaitu DYTM Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.  Perarakan Maulud Nabi Muhammad S.A.W merangkumi perjalanan sejauh 3.7 kilometer mengelilingi sebahagian ibu negara, Bandar Seri Begawan. Perhimpunan pada tahun ini disertai oleh 143 pasukan yang terdiri daripada pasukan sekolah-sekolah menengah, maktab, institusi pengajian tinggi, kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, majlis-majlis perundingan kampung dan takmir masjid yang dianggarkan berjumlah sekitar 12,000 orang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berkenan berangkat menerima mengadap ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan pada tahun ini. Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh Pasukan Dikir Kementerian Kewangan dan sebaik sahaja sampai kepada “Ya Habibi” kedengaran tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan ke udara oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diikuti bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan Brunei.


Sebelum berarak, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dilaungkan sebanyak tiga kali sebelum Menteri Hal Ehwal Ugama, YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman memohon perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta ahli kerabat diraja yang lain dan pembesar-pembesar negara untuk mengetuai perarakan. Sebaik sahaja perarakan bermula, kedengaran nyanyian nasyid ‘Thalak Badri Alaina’ disampaikan oleh Pasukan Sekolah-sekolah Arab dan Ugama.

Perhimpunan perarakan dan perbarisan pada tahun ini mempertandingkan lima kategori iaitu :-
  1. Pasukan tidak bernombor yang disertai sebanyak 12 pasukan. 
  2. Kategori sekolah menengah/arab/maktab/institusi pengajian tinggi/swasta sebanyak 28 pasukan. 
  3. Kategori kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan sebanyak 18 pasukan.
  4. Kategori persatuan-persatuan dan sektor swasta sebanyak 25 pasukan.
  5. Kategori kampung dan masjid sebanyak 30 pasukan.
Sumber : Media Permata

Sunday, December 6, 2015

YAM Tunku Jalil Mangkat


06 Disember, 2015 :-

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Dukacita dimaklumkan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim, telah mangkat pada 05 Disember 2015 jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, Johor akibat kanser. Almarhum berusia 25 tahun diputerakan pada 05 Julai 1990 disahkan  menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember 2014  dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China. Walau bagaimanapun penyakit Almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik dan putera kepada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Mengikut jadual, Istiadat siram jenazah dan kafan akan diadakan jam 07:00 pagi ini. Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Baharu untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Orang ramai boleh datang memberi penghormatan terakhir bermula jam 09:00 pagi hingga 11:30 pagi manakala bagi orang-orang kenamaan  pula akan bermula pada jam 11:30 pagi hingga 12:30 tengahari. Solat Jenazah akan dilakukan sebelum jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Mahmoodiah untuk dimakamkan selepas solat Zohor.

Jenazah akan dibawa ke makam diraja menggunakan pedati khas yang ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar ke Makam Diraja sepanjang tiga kilometer. Diatas keranda Almarhum akan diletakkan bendera peribadi, topi polis dan pedang Almarhum memandangkan Almarhum  pernah ditauliahkan sebagai Inspektor Polis pada 2011. Almarhum merupakan kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan disebelah kanan makam Almarhum nendanya, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail sepertimana permintaan Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Jalil sebelum ini.

Dengan kemangkatan ini semua bendera di negeri Johor akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini.  Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari untuk kerabat diraja dan tiga hari untuk orang awam. Majlis tahlil akan diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Baharu, Johor. 

Merafak Sembah Ucap Takziah kepada DYMM Sultan Johor, DYMM Permaisuri Johor serta Kerabat Diraja Johor dan Perak diatas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim.

..... Al-Fatihah .....




Semuga Rohnya Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.


Sumber :- Bernama - Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli / Millionaireasia.com


Sunday, November 29, 2015

RAJA MUDA KEDAH MANGKAT




29 November 2015, Ahad :-

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Dukacita dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pagi tadi jam 01:08 pagi 29 November 2015 bersamaan 17 Safar 1437 Hijrah di Wad Diraja Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Darul Aman kerana sakit tua dalam usia 86 tahun.

Mengikut jadual jenazah Almarhum akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, Alor Setar pada jam 01:00 petang. Jenazah Almarhum akan disemadikan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bagi maksud penghormatan terakhir mulai jam 01:30 petang hingga jam 02:30 petang untuk orang ramai manakala untuk tetamu kenamaan akan bermula pada jam 02:30 petang hingga 03:30 petang.  

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada hari ini lebih kurang jam 04:45 petang. Jenazah akan dibawa ke Makan Diraja melalui jalan-jalan Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Langgar dan terus ke Makam Diraja Langgar.

Dengan kemangkatan ini, bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain akan dikibarkan separuh tiang selama 3 hari bermula hari ini di Negeri Kedah Darul Aman.  Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari bermula hari ini 29 November 2015 hingga 05 Disember 2015. Dalam tempoh perkabungan, segala bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.


Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 24th September 1929 di Alor Setar dan merupakan adik beradik seibu sebapa dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Almarhum dilantik sebagai Tunku Bendahara Kedah pada 23 Februari 1959 dan dilantik sebagai pewaris tahta dengan gelaran Raja Muda Kedah pada 28 November 1981.




Almarhum berkahwin dengan Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 16 Julai 1956. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata. Isteri Almarhum,  Almarhumah Raja Puan Muda mangkat pada tahun ini, 21 September 2015 dalam usia 86 tahun manakala kekanda Almarhum Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah juga telah mangkat pada tahun ini, 04 November 2015 dalam usia 90 tahun.

Merafak Sembah Takziah kepada Kerabat Diraja Kedah diatas kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah.  Semuga Roh Almarhum ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Sumber : Putera Kola/The Royal Ark/Pej MB Kedah / MBS Mini Royal Library

Friday, November 6, 2015

Istiadat Permakaman Almarhumah YTM Dato' Seri Tunku Hamidah Disempurnakan

06 November 2015, Jumaat :

Istiadat permakaman Allahyarhamah Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Al-Marhum Sultan Badlishah telah selamat disempurnakan semalam 05 November 2015 dengan penuh adat istiadat Diraja Negeri Kedah Darul Aman.  

Almarhumah diputerikan pada 22 September 1926 dan merupakan kekanda seibu sebapa kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Almarhumah mendirikan rumah tanggan dengan Tengku Abdul Aziz Ibni Sultan Sulaiman Bardul Alam Shah (Sultan Terengganu) pada 15 Oktober 1946. Pasangan diraja ini dikurniakan dengan empat putera dan enam puteri dimana empat daripadanya adalah pasangan kembar (dua kembar lelaki dan dua kembar perempuan).

Almarhumah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 04 November 2015 jam 11:50 pagi kerana sakit tua. Jenazah kemudiannya dibawa ke Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.  Istiadat penghormatan terakhir berlangsung di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bermula jam 03:00 petang hingga 07:00 malam. Solat jenazah didakan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit pada jam 09.30 pagi 05 November 2015 disempurnakan oleh Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad. Jenazah kemudiannya berangkat ke Makam Diraja Langgar untuk Istiadat Permakaman menggunakan kenderaan khas.  Istiadat permakaman selesai lebih kurang jam 11:30 tengahari.

Al-Fatihah………… Semuga Rohnya Allahyarhamah Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Al-Marhum Sultan Badlishah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.





Click gambar untuk imej yang lebih besar.


Click gambar untuk imej yang lebih besar.


Click gambar untuk imej yang lebih besar.



 Click gambar untuk imej yang lebih besar.

Sumber : Putera Kola / Bernama / The Royalark


Wednesday, November 4, 2015

YTM Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah Mangkat

04 November 2015, Rabu :-


Al-Fatihah



Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat tenghari tadi dalam usia 90 tahun.  Jenazah akan dibawa ke Istana Anak Bukit dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah. Semuga Rohnya Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.


Takziah diucapkan kepada keluarga Almarhumah diatas kemangkatan ini. Almarhumah merupakan kekanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.



Sumber : Istana Anak Bukit/Putera Kola

Piala AFC 2015 - Sultan Johor Bernazar Derma 1 Juta

04 November 2015, Rabu :-

Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam laman facebook milik baginda memaklumkan bahawa baginda akan menderma sebanyak RM 1 juta kepada rumah anak-anak yatim di Johor sebagai menunaikan nazar baginda diatas kemenangan pasukan Johor Darul Takzin (JDT) yang telah menjulang Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 yang diadakan di Dushanbe, Tajikistan baru-baru ini.

Baginda juga memaklumkan bahawa anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor,  Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim juga bernazar untuk menderma kepada semua Masjid di Negeri Johor Darul Takzim jika pasukan JDT menjadi juara Piala AFC 2015. Walau bagaimanapun baginda tidak memaklumkan jumlah derma yang akan disumbangkan oleh DYAM Tunku Ismail.

Pasukan JDT menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dengan menewaskan pasukan Istiklol FC 1-0 dalam perlawanan final Piala AFC yang berlangsung di Stadium Central Republik Dushanbe, Tajikstan pada 31 Oktober 2015.  Gol disumbangkan oleh pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22.

Sempena kemenangan ini,  Negeri Johor telah mengisytiharkan 01 November 2015 lalu sebagai cuti khas peristiwa bagi seluruh Negeri Johor.  Warga Johor akan berpeluang melihat Piala berkenaan dari dekat apabila iannya akan dipamerkan diseluruh daerah di Negeri Johor selepas keberangkatan tiba DYAM Tunku Ismail ke Johor pada 18 November 2015.


Sumber : Sultan Ibrahim Sultan Iskandar FB / Kosmo 

Saturday, October 24, 2015

Hari Keputeraan Sultan Pahang Ke-85


KDYMM Sultan Pahang dan DYMM Sultanah Pahang berangkat tiba di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang hari ini untuk menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang ke-85.


D A U LA T   T U A N K U

Patek Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah 
D.K.P., D.K., D.K.M., S.S.A.P., S.I.M.P., D.M.N., D.K.(Perak), D.K.(Johor), D.K.(Kelantan), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.M.B., D.K.(Brunei), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia), Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait), Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), Hon. D.Litt (Malaya), LLD hc (Northrop, USA), Hon.D.Sc. (Bedfordshire, UK.), Hon. PhD. (Civil Engineering) Universiti Malaysia Pahang).


Sultan dan Raja Pemerintah Bagi Negeri Pahang Darul Makmur Serta Segala Jajahan Takluknya Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda 
Ke-85 Tahun
Pada 24 Oktober 2015 bersamaan 11 Muharam 1437 Hijrah


Semuga Allah Memanjangkan Usia Tuanku Sultan dan Diberikan Kesihatan Yang Baik Agar Dapat Terus Menerajui Tahta Negeri Pahang Darul Makmur.
Amin.

Sembah Takzim Daripada


M a h a r u m    B u g i s    S y a h

Tuesday, September 22, 2015

Istiadat Permakaman DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Disempurnakan

22 September 2015, Selasa :-

Merafak Sembah Takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah  diatas kemangkatan suri tercinta baginda Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Almarhumah yang berusia 86 tahun mangkat pagi semalam (21 September 2015) jam 10:15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana sakit tua. Dengan kemangkatan ini, Kerajaan Negeri mengisytiharkan Negeri Kedah Darul Aman berkabung selama 7 hari bermula 21 hingga 27 September 2015. Segala bentuk hiburan, keraian dan perayaan adalah dibatalkan.  Bendera Persekutuan dan lain-lain dikibar separuh tiang selama tiga hari bermula 21 - 23 September 2015.

Almarhumah diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasha, Kampung Bandar, Jugra, Kuala Langat, Selangor. Almarhumah merupakan kerabat diraja Selangor dan puteri Sulong kepada Almarhum  Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah bersama suri baginda Allahyarhamah Che Puan Hajah Kalsom. Almarhumah merupakan Bonda Saudara kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Almarhumah berkahwin dengan DYTM Tunku Haji Abdul Malik pada 16 Julai 1956 dan dianugerahkan gelaran DYTM Raja Puan Muda Kedah pada tahun 1981. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata.


Shukur Alhamdulillah Istiadat Permakaman Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah  telah selamat disempurnakan dengan penuh adat istiadat diraja negeri Kedah Darul Aman petang semalam di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar.


Solat Jenazah diadakan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit diimamkan oleh Mufti Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad.


Jenazah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit selama satu jam bermula jam 04:00 petang untuk  Istiadat Penghormatan Terakhir.


KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit kira-kira jam 04:30 petang dan berada kira-kira 15 minit di istiadat berkenan. Turut berangkat adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perlis, YTM Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan YTM anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah serta  kerabat-kerabat diraja.  Turut serta dalam istiadat ini adalah  Menteri Besar Kedah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, barisan exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan negeri dan tetamu lainnya


Jam 05:00 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhumah berangkat keluar meninggalkan Istana Anak Bukit menuju ke Makam Diraja Langgar.



Jenazah dibawa melalui  jalan Lebuh Raya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar.



Jenazah selamat berangkat tiba ke Makam Diraja lebih kurang jam 06:15 petang untuk Istiadat Permakaman. Istiadat Permakaman telah selamat disempurnakan pada jam 07:15 malam.



Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyiram air mawar dan menabur bunga di makam Almarhumah suri baginda.


Al-Fatihah 
Semuga Rohnya Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman Dan Beramal Solleh.

..... Amien .....

Sumber :- Bernama / Putra Kola / Mukhriz Mahathir FC / Lain-Lain Carian

Monday, September 21, 2015

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Mangkat

21 September 2015, Isnin :- 
Al-Fatihah


Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah 

Setakat yang Syah ketahui, Almarhumah mangkat pagi ini lebih kurang jam 10:00 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akibat sakit tua dan Istiadat Permakaman akan dijalankan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Sekarang jenazah berada di Istana Anak Bukit untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan dijadualkan berangkat  ke Makam Diraja jam 04:00 petang ini.


Semuga Rohnya Almarhumah DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tunku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.

Amien.

Wednesday, September 16, 2015

Raja Arab Saudi Umum Pampasan Mangsa Kren Jatuh Di Masjidil Haram


16 September 2015, Rabu :-

Raja Arab Saudi, Raja Salman ibni Abdul Aziz bertitah bahawa 1 Juta Riyal atau RM 1.2 Juta akan diberikan kepada  waris mangsa yang terkorban dalam tragedi kren jatuh di Masjidil Haram pada Jumaat, 11 September 2015. Jumlah yang sama juga akan diterima oleh mangsa yang mengalami kecacatan kekal.  Sebanyak 500,000 riyal atau RM600,000.00 akan diberikan kepada mangsa yang tercedera.

Mangsa yang tidak mampu meneruskan ibadah haji pada tahun ini akan diundang sebagai tetamu diraja bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun hadapan. Manakala bagi mangsa yang telah meninggal dunia, dua orang ahli waris mereka akan dijemput sebagai tetamu diraja untuk mengerjakan haji pada tahun hadapan. Kaum keluarga mangsa yang cedera pula dibenarkan datang untuk melawat dan menjaga mangsa dihospital dimana mereka akan diberi jaminan visa lawatan  sepanjang musim haji sehingga mangsa kembali ke negara masing-masing.

Tabung Haji dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebelum ini mengumumkan bantuan sebanyak RM40,000.00 kepada semua waris mangsa yang terkorban. 

Hasil daripada siasiatan yang dijalankan, Kren yang dilaporkan jatuh itu diletakkan ditempat yang salah dan dalam posisi yang tidak selamat. Syarikat Saudi Binladin  telah diarah memberhentikan operasi mereka sehingga siasatan selesai. Dalam kejadian Jumaat lalu telah mengorbankan 111 orang manakala 331 orang tercedera termasuk lima rakyat Malaysia disahkan terkorban manakala dua lagi masih hilang.  Proses menaiktaraf Masjidil Haram yang dianggarkan bernilai 21 billion Dollar sedang giat dijalankan bagi meningkatkan kapisiti jemaah haji.


..... Al-Fatihah ....

Sumber :- Bernama Radio / Astro Awani

Monday, September 14, 2015

Sambutan Aidiladha Pada 24 September 2015


14 September 2015, Isnin :-

Malam tadi Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, En Mohd Aseral Jusman mengumumkan bahawa tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Qurban) adalah pada hari Khamis, 24 September 2015  bersamaan 10 Zulhijjah 1436.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia, dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1436 Hijrah ialah pada 15hb September 2015 Masehi. Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi Negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 24hb. September 2015 Masehi.”

Sumber :- Bernama / Portal Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia / Astro Awani

Friday, September 4, 2015

Sultan Selangor Melawat Panda Gergasi

04 September 2015, Jumaat :-

Semalam Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan mencemar duli melawat panda gergasi Xing Xing di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara. Keberangkatan Tuanku Sultan Selangor dan rombongan ke Zoo Negara semalam sempena Program Sambutan Hari Lahir ke-9 Xing Xing dan Liang Liang serta Perasmian Poskad Zoo Negara. 

Panda gergasi Liang Liang pula tidak kelihatan kerana sedang direhatkan setelah melahirkan anak bulan lepas. Turut serta mengiringi Tuanku Sultan selangor adalah Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Azamin Ali dan  Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md Arif.

Sumber :- Bernama/The Sun

Monday, August 31, 2015

Mengapa Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Dimakamkan Di Kedah


Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

31 Ogos 2015, Isnin :-

Gambar diatas adalah Makam Bapa Kemerdekaan Malaysia iaitu Al-Marhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah.  Al-Marhum mangkat pada  06 Disember 1990 sewaktu berusia 87 tahun di Kuala Lumpur dan dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Alor Setar, Kedah. Manakala gambar dibawah adalah pusara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Makam Al-Marhum ini Syah ambil pada Desember 2006 sewaktu ziarah ke Makam Diraja Langgar manakala gambar pusara di Makam Pahlawan ini Syah ambil pada November 2009.



Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Jika anda pernah ke Masjid Negara, terdapat satu kubah di dalam kawasan Masjid Negara yang menempatkan pusara Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Manakala dibahagian luarnya terdapat beberapa pusara untuk mereka yang berjasa kepada negara.


Gambar pusara dalam kawasan Makam Pahlawan ini pula diambil pada April 2010.



@ Makam Pahlawan, May 2012.

Terbaca di FB dan sebuah blog pagi tadi yang menyatakan bahawa dalam wasiatnya Almarhum menolak  untuk dimakamkan di Makam Pahlawan tetapi memilih untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar yang merupakan kawasan permakaman keluarga diraja Kedah. 

Syah secara peribadi bersetuju dengan wasiat Al-Marhum itu kerana Al-Marhum merupakan keluarga diraja Kedah dan putera kepada Seorang Sultan dan Makam Diraja adalah tempat yang sesuai untuk persemadian jenazah Al-Marhum. Walau dimanapun Al-Marhum dimakamkan, struktur binaan makam Al-Marhum adalah sama seperti pusara-pusara Bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang disemadikan didalam kubah Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Al-Fatihah ........... Semuga Rohnya Al-Marhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.


Tuesday, August 18, 2015

KDYMM Sultan Brunei Dan KDYMM Raja Isteri Berangkat ke Majlis Persantapan Pasukan Beruniform



18.08.2015, Selasa :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenaan berangkat ke  Majlis Persantapan untuk Pegawai-Pegawai Keselamatan dan Pegawai Beruniform serta Pertubuhan-Pertubuhan Awam Beruniform sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-69. Majlis diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Majlis dimulai dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

KDYMM Tuanku Sultan juga telah berkenan beramah mesra dan menerima menerima mengadap para pegawai dan anggota pasukan beruniform terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Unit Simpanan Gurkha, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen & Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Penjara. 


KDYMM Tuanku Sultan juga kemudiannya beramah mesra dan menerima menerima mengadap ahli-ahli pertubuhan sukarelawan yang terdiri daripada Kadet ABDB, Kadet PDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Turut berangkat dalam majlis ini adalah kerabat-kerabat diraja Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Hulubalang dan Manteri-Manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.





Sumber :- Pelitabrunei

Saturday, August 15, 2015

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei Ke-69


15 Ogos 2015, Sabtu :- 

Sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-69, pagi tadi telah diadakan Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan Istiadat  Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran yang berlangsung di Balai Singahsana, Istana Nurul Iman.


Sumber : Jabatan Penerangan 

Hari Keputeraan Sultan Brunei Ke-69


15 Ogos 2015, Sabtu :-

Merafak Sembah Setingi-Tinggi Tahniah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 

Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang Ke- 69 Tahun


Dirgahayu Tuanku

Semuga Allah Lanjutkan Usia Tuanku


Sembah Takzim Daripada

Maharum Bugis Syah