Friday, May 8, 2015

Istiadat Tabal Pusaka Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (Ke-35) Disempurnakan

Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar



Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Bainun Mohd Ali.


08 May 2015, Jumaat :-

Istiadat Tabal Pusaka Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35) telah disempurnakan malam tadi di Istana Iskandariah. Istiadat Tabal Pusaka merupakan salah satu daripada enam istiadat yang perlu disempurnakan sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (Ke-35). Istiadat Tabal Pusaka ini mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-Perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Santapan Nasi Berastakona.

Istiadat malam tadi dimulai dengan Istiadat Pemulihan Perkakas-Perkakas Kerajaan dan perkakas Nobat Diraja oleh Raja Chik Muda Pawang Diraja, Raja Rosli Mohamad di Balairung Seri Istana Iskandariah sekitar jam 09:30 malam. Istiadat di Balairung Seri ini dijalankan secara tertutup dalam keadaan gelap dan hanya diterangi cahaya lilin yang dibawa masuk oleh 16 jejawat perempuan.

Setelah selesai istiadat di Balairung Seri, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berangkat ke Panca Persada yang terletak di perkarangan Istana Iskandariah untuk Istiadat Bersiram Tabal. DYMM Tuanku Nazrin dan Tuanku Zara duduk diatas Panca Persada setinggi 11 tingkat dimana empat orang kerabat diraja wanita memegang sehelai kain putih di empat penjuru ditempat persemayaman (duduk) Tuanku berdua. 

Raja Chik Muda Pawang Diraja, Raja Rosli Mohamad diikuti Toh Seri Nara Diraja, Mohd Shah Nong Chik dan adinda Tuanku Sultan, Raja Datuk Seri Azureen menyurahkan air yang diambil daripada tujuah kuala Sungai Perak keatas kain putih berkenaan dimana DYMM Tuanku berdua berada dibawah kain berkenaan. DYMM Tuanku berdua kelihatan ceria dan gembira ketika istiadat berlangsung yang mengambil masa kira-kira 5 minit.

Paluan Nobat dengan lagu Raja Berangkat (Gendang Berangkat) dan Puteri Mandi Mayang dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak sepanjang istiadat dijalankan.  Setelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, DYMM Tuanku berdua diselimutkan dengan kain songket bersulam benang emas dan kemudiannya turun dari Panca Persada.

Dari Panca Persada Baginda berdua berangkat ke Istana Iskandariah untuk menukar persalinan bagi menghadiri Istiadat Santapan Nasi Berastakona di Balairung Seri Istana Iskandariah. Setelah selesai Istiadat Santapan Nasi Berastakona maka Istiadat Tabal Pusaka sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35) telah disempurnakan.

Turut berangkat dalam Istiadat ini adalah bonda kepada Tuanku Sultan, YMM Raja Permaisuri Bainun Mohd Ali, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Jaafar bin Raja Muda Musa dan isteri, Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan,  Duli Yang Amat Mulia Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan isteri. Turut serta adalah  Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan para jemputan khas.

Sumber :- Bernama/Utusan/Perak Today

No comments: