Wednesday, May 13, 2015

Sultan Perak dan Raja Permaisuri Menaiki Balai Gambang Sempena Istiadat Menziarahi Makam-Makam Sultan dan Pemerintah Perak

Click gambar untuk Imej yang lebih besar

13 May 2015, Rabu :-

Istiadat Menziarahi Makam-Makam Sultan dan Pemerintah Perak yang terdahulu sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35) diteruskan lagi hari ini dimana DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak menziarahi lima makam Sultan Perak di sepanjang Sungai Perak dari Pasir Salak ke Teluk Intan. Bagi ziarah kali ini Baginda dan rombongan menaiki Balai Gambang yang dinamakan Cempaka Sari. Baginda dan rombongan Diraja berangkat tiba di perkarangan Jeti Pasir Salak lebih kurang jam 09:30hrs disambut dengan paluan kompang, selawat dan bacaan doa.

Click gambar untuk Imej yang lebih besar
Click gambar untuk Imej yang lebih besar
Click gambar untuk Imej yang lebih besar
Click gambar untuk Imej yang lebih besar


Balai Gambang merupakan sejenis rakit besar atau bot berhias dibina khas sempena Istiadat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35). Iannya masih mengekalkan reka bentuk dan hiasan tradisi Melayu Perak seperti yang pernah digunakan semasa pertabalan Sultan Azlah Shah. Balai Gambang dikendalikan oleh Jurumudi khas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak. Mereka adalah anak beranak dimana si ayah mempunyai pengalaman mengemudkan Balai Gambang ketika pertabalan Sultan Azlan Shah.

Balai Gambang ini berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar dengan berat 4.5 tan dan boleh membawa 10 hingga 15 penumpang pada satu-satu masa. Balai Gambang digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150 sentimeter padu (cc). Bahan-bahan yang digunakan bagi pembinaan Balai Gambang ini terdiri daripada gentian kaca yang lebih ringan dan kuat serta menggunakan kayu dan besi untuk mendapatkan struktur yang lebih kukuh.Balai Gambang kali ini dibina agak kecil dari kebiasaannya kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak tidak bersemayam atau beradu didalam Balai Gambang ini. 

Balai Gambang Cempaka Sari dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dengan kerjasama Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIMET) di Lumut . Seramai 35 anggota JKR dan 13 tenaga pakar dan pelajar UniKL terlibat dalam pembinaan Balai Gambang ini. Kerja-kerja pembinaan dilakukan di Litar Datuk Sagor bermula Januari 2015.

Balai Gambang mula diperkenalkan sewaktu pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak ke-15, Almarhum Sultan Iskandar Dzulkarnain dimana iannya digunakan sewaktu Baginda berpindah dari Pulau Cempaka Sari ke Pulau Indera Sakti di daerah Perak Tengah sekitar tahun 1754.  Walau bagaimanapun Balai Gambang digunakan sebagai alat kelengkapan khusus untuk Istiadat Pertabalan hanya pada tahun 1754 sewaktu pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Ke-16, Almarhum Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda.

Pada ketika itu, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading sehinggalah pada tahun 1963 ketika pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Ke-33, Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Syah, kayu dan besi digunakan bagi menggantikan buluh untuk mendapatkan binaan yang lebih teguh dan kemas. 

Sumber :- Fairul / Perak Today / Jabatan Penerangan Malaysia / mynewshub.cc / Bernama

No comments: