Monday, May 18, 2015

Sultan Perak Sempurnakan Istiadat Menutup Kerja sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (ke-35)

Click gambar untuk Imej yang lebih besar
17 May 2015, Ahad :-

Tengahari semalam Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah menyempurnakan Istiadat Menutup Kerja sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (ke-35) di Istana Iskandariah. Dalam titah Baginda, Tuanku Sultan Nazrin memaklumkan segala kerja berkaitan istiadat pertabalan Baginda telah selamat disempurnakan. Baginda juga turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan acara-acara yang telah dijadualkan sepanjang istiadat pertabalan berlangsung.

Baginda juga amat menghargai kehadiran rakyat jelata yang menyambut keberangkatan baginda disetiap lokasi yang diziarahi serta disetiap majlis yang diadakan. Baginda mengangapnya sebagai satu hadiah yang paling berharga bagi Baginda dan Raja Permaisuri.

Titah Baginda lagi, menziarah makam adalah sebahagian daripada istiadat yang telah diamalkan turun-temurun oleh Sultan yang baharu ditabalkan dan pengalaman itu telah menginsafkan baginda kepada tiga perkara. :-
  1. Darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh ALLAH yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.
  2. Setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan. Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran dari pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman.
  3. Keinsafan pengalaman menjejakkan kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam-makam telah mengimbaas kembali tentang susah payah sultan Perak terdahulu untuk mengasaskan sebuah negeri dan pemerintahan dengan kemudahan yang sangat terbatas.
Titah Baginda lagi, adalah menjadi tanggungjawab besar baginda untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak. Baginda turut menzahirkan kesyukuran di atas pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman melawat makam dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.

Diantara Titah Baginda :-

  • "Hari ini selesailah segala acara istiadat pertabalan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Muda dan Paduka bonda Raja Puan Besar serta kepada Paduka kakanda Raja Di-Hilir dan Raja Puan Muda yang telah bersama mempamerkan semangat bersama untuk memulihara kedaulatan takhta Kerajaan Perak Darul Ridzuan".
  • "Penghargaan turut dizahirkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah memberikan pimpinan berkesan kepada ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Orang Besar Negeri dan kakitangan kerajaan menguruskan pelbagai acara".
  • "Kepada setiap ahli jawatankuasa dan kepada setiap pihak yang terlibat Beta menzahirkan ucapan terima kasih".
  • Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Sebarang kekurangan, sebarang kecacatan adalah sebahagian daripada sifat semula jadi kelemahan insan untuk membuktikan bahawa hanya Allah SWT yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan".


Sumber : Bernama / Perak Today

    No comments: