Sunday, May 1, 2016

Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh bin Pengiran Haji Rajid Meninggal Dunia

01 May 2016, Ahad :-


Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh bin Pengiran Haji Rajid telah kembali ke rahmatullah semalam 30 April 2016 bersamaan 23 Rejab 1437H di Hospital  Raja Isteri Pengiran Anak Saleha  pada jam 07:40 malam dalam usia 86 tahun. Al-Fatihah ............. Semuga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh bin Pengiran Haji Rajid  merupakan Cheteria 16.  Sebagai Cheteria 16, Allahyarham bertanggungjawab memerhatikan keadaan usaha sesuatu penyelidikan bagi sesuatu perkara yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara serta mengadakan penyelidikan dan kajian mengenai masalah yang berkaitan dengannya untuk disembahkan kepada Baginda Sultan sebagai nasihat. 

Allahyarham dilahirkan pada 19 September 1929 mempunyai 16 orng anak, 64 orang cucu dan 27 orang cicit.  Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kilometer 16, Kampong Telanai hari ini dengan penuh adat istiadat.  Sebelum itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien  dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah telah berkenan mencemar duli menzirahi jenazah Allahyarham dikediamannya di Kampung Telanai.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga berkenan bersama-sama menunaikan Sembahyang Jenazah Berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Sebelum dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera, Allahyarham telah dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Pengawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Diantara Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam yang dianugerahkan kepada Allahyarham adalah :-
  1. Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (Dato Laila Utama - D.K) - 1972
  2. Darjah Kerabat Seri Utama Yang Amat Dihormati (Dato Seri Utama - D.K.) -  1970
  3. Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Kedua (Dato Setia - D.S.N.B) - 1968
  4. Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (Dato Paduka - D.P.M.B) - 1968
  5. Darjah Pahlawan Negara Brunei Yang Amat Perkasa Darjah Ketiga (P.N.B) - 1963
  6. Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (P.H.B.S) - 1968
  7. Pingat Bakti Laila Ikhlas (P.B.L.I) - 2008 
  8. Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) - 1968
  9. Pingat Kerja Lama (P.K.L) - 1967
Selain daripada itu Allahyarham juga menerima :-

  1. Honorary Officer of The Most Excellent Order of the British Empire (C.V.O) - 1972
  2. Honorary Member of The Royal Victorian Order (M.V.O) - 1992
  3. Pingat Peringatan Jubli Perak – Selangor. - 1987.


Selain itu, Allahyarham juga menerima Anugerah 'Pemimpin Belia Berjasa' semasa Majlis Belia Brunei pada 1 Ogos 2006.



Sumber : MBS/bruneiroyalfamily IG / Pelita Brunei

No comments: